KUCHING | 24 Oktober 2026 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak terus memperhebatkan tindakan pencegahan jenayah menerusi pelaksanaan Op Lusuh Khas 2/2026 bagi memeriksa premis barangan lusuh di seluruh negeri.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan bin Ishak berkata, operasi yang digerakkan bagi tempoh 20 hingga 23 Oktober 2026 itu bertujuan memastikan semua pengusaha premis barangan lusuh mematuhi syarat serta peraturan undang-undang yang berkuat kuasa, di samping membendung pengedaran barangan curi.

Sepanjang tempoh empat hari operasi berkenaan dijalankan, sebanyak 84 premis dan 147 individu telah diperiksa di pelbagai lokasi. Operasi bersepadu ini melibatkan seramai 470 pegawai dan anggota polis bersama penglibatan 20 jabatan serta agensi penguatkuasaan lain.

Daripada jumlah premis yang diperiksa, sebanyak 80 premis didapati berlesen manakala empat lagi beroperasi tanpa lesen yang sah. Pihak berkuasa turut merekodkan sebanyak 13 tangkapan dan melaksanakan 22 tindakan rampasan.

Sehubungan itu, pihak PDRM Sarawak menasihatkan orang ramai supaya tidak sesekali membeli atau menjual barangan yang disyaki diperoleh secara tidak sah. Masyarakat juga disarankan agar sentiasa menyimpan rekod dokumen atau bukti urus niaga berkaitan, selain segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis berhubung sebarang aktiviti yang mencurigakan.

Dalam masa sama, para pemilik dan pengusaha premis barangan lusuh diingatkan supaya memastikan lesen perniagaan sentiasa diperbaharui dan sah, menyimpan rekod punca sumber barangan dengan teratur, serta memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa semasa pemeriksaan dijalankan. Sebarang tawaran barangan yang mencurigakan hendaklah ditolak dan dilaporkan dengan segera kepada pihak polis.

PDRM Sarawak menegaskan bahawa tindakan pemeriksaan dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti terus terpelihara.

IMG_8410

IMG_8411