KUCHING | 20 Oktober 2026 - Pihak polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan susulan tularnya rakaman video berdurasi 1 minit 13 saat yang memaparkan insiden pergaduhan membabitkan dua individu lelaki di tempat awam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga anak Chabu berkata, satu laporan polis telah diterima pada 19 Oktober 2026 berhubung kejadian yang berlaku di hadapan sebuah kedai makan di Pasar Kenyalang Park, Kuching pada 18 Oktober lalu kira-kira jam 4.00 pagi.
Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati insiden tersebut tercetus akibat daripada perasaan cemburu dan tidak puas hati, yang kemudiannya bertukar menjadi pertengkaran mulut sebelum berlarutan kepada pergaduhan fizikal antara dua lelaki berusia 24 dan 27 tahun. Akibat kejadian itu, kedua-dua suspek dilaporkan mengalami kecederaan sebelum pergaduhan tersebut berjaya dileraikan oleh orang awam yang berada di lokasi.
Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh-gempar di tempat awam. Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, atau didenda sehingga RM1,000, atau kedua-duanya sekali.
Susulan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang serta mengelakkan sebarang pertengkaran yang boleh mencetuskan pergaduhan di tempat awam. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kuching di talian 082-244444 atau pegawai penyiasat kes, Insp Logeswara di talian 018-2914239.





