GENTING HIGHLANDS | 5 November 2026 – Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) Kluster Sarawak bersama Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027 giat memperhalusi mekanisme dan garis panduan penajaan menjelang penganjuran temasya Sukan SEA ke-34 yang dijadualkan membuka tirai pada 18 hingga 29 September 2027.

IMG_1166

Barisan delegasi Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) Kluster Sarawak bergambar kenangan bersama wakil Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC) 2027 serta wakil negeri penganjur pada Bengkel Penyelarasan Bersama Kerajaan Negeri Penganjur Sukan SEA ke-34 di Genting Highlands. Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

Penelitian itu memberi tumpuan khusus kepada parameter penyertaan syarikat korporat dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak, di samping memastikan keseragaman prosedur penajaan bersama kluster negeri penganjur lain iaitu Pulau Pinang dan Johor.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat MASOC 2027, Datu Hii Chang Kee berkata, sesi bengkel penyelarasan selama tiga hari yang diadakan di sini amat signifikan dalam merungkai pelbagai isu operasional dan teknikal yang dibangkitkan oleh setiap kluster negeri penganjur.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan Sekretariat MASOC 2027, terutamanya CEO MASOC 2027, Datuk Abdul Rashid Yaakub atas komitmen memberikan penjelasan tuntas terhadap setiap persoalan yang dikemukakan.

“Kluster Sarawak juga memohon agar sebarang jemputan daripada Sekretariat MASOC 2027 berkaitan bengkel atau mesyuarat di peringkat jawatankuasa dimaklumkan melalui Ketua LOC setiap kluster negeri penganjur bagi memastikan segala perancangan dan penyelarasan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur,” jelas Hii.

Bagi memantapkan gerak kerja logistik dan teknikal temasya dwitahunan itu, sebanyak 19 jawatankuasa khusus telah diwujudkan untuk menyokong seluruh rantaian persiapan temasya sukan serantau berkenaan.

Sekretariat MASOC 2027 turut memaklumkan bahawa beberapa ketetapan dasar sedang dimuktamadkan, manakala garis panduan sedia ada kini diteliti semula bagi penyediaan sebuah buku panduan (handbook) rasmi sebagai rujukan komprehensif kepada semua pihak yang terlibat.

Bengkel Penyelarasan Sekretariat MASOC Bersama Kerajaan Negeri Penganjur Sukan SEA ke-34 Tahun 2027 itu telah berlangsung bermula 2 November lalu dan berakhir secara rasmi semalam.

Hadir sama pada sesi bengkel berkenaan ialah Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MySED) yang juga Timbalan Pengerusi merangkap Pegawai Pengawal LOC Kluster Sarawak, Datu Dzulkornain Masron; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Mu’azamir Jili; serta barisan delegasi Sekretariat LOC Kluster Sarawak.