BATU LINTANG | 5 November 2026 – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) terus memperhebat pemantauan keselamatan di barisan hadapan menerusi lawatan kerja Ketua Pengarahnya, CP Dato' Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain ke Pos Kawalan Sempadan Batu Lintang, semalam.

IMG_1153

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), CP Dato' Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain menyampaikan tanda penghargaan kepada pegawai bertugas sempena lawatan kerja meninjau kesiapsiagaan operasi serta menyantuni kebajikan petugas di Pos Kawalan Sempadan Batu Lintang, Sarawak. Foto: Ihsan AKPS

Kehadiran beliau di pos kawalan darat tersebut bertujuan meninjau secara langsung pelaksanaan operasi penugasan harian, di samping beramah mesra serta menyantuni para pegawai dan anggota yang bertugas di kawasan sempadan Malaysia–Indonesia itu.

Menerusi sesi interaksi di lapangan, Mohd Shuhaily berpeluang mendengar sendiri kekangan operasi, isu logistik serta cabaran getir yang dihadapi anggota semasa menggalas amanah menjaga kedaulatan sempadan negara.

AKPS dalam kenyataannya menegaskan bahawa aspek kebajikan petugas sempadan sentiasa menjadi keutamaan pengurusan tertinggi, dengan segala keperluan asas dan kebajikan anggota akan diteliti secara berterusan bagi mengenal pasti langkah penambahbaikan yang wajar dilaksanakan.

Langkah berkenaan disifatkan amat penting bagi memastikan tahap kesiapsiagaan serta kelancaran operasi kawalan sentiasa berada pada tahap terbaik.

"Kebajikan petugas yang terpelihara menjadi asas kepada pengukuhan kawalan dan keselamatan sempadan negara," menurut kenyataan itu.

Pos Kawalan Sempadan Batu Lintang merupakan antara laluan kawalan penting di sempadan Sarawak, yang memerlukan kawalan rapi serta rondaan bersepadu secara berterusan bagi membendung jenayah rentas sempadan dan pencerobohan tanpa izin.