PUTRAJAYA | 4 November 2026 – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa terharu dan penghargaan mendalam kepada masyarakat yang terus menziarahi pusara serta mendoakan Allahyarhamah isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Menerusi warkah terbuka bertajuk 'Terima Kasih Sekali Lagi' yang dikeluarkan hari ini, Dr Mahathir menyatakan bahawa ingatan berterusan orang ramai terhadap arwah isterinya amat menyentuh hati beliau sekeluarga, meskipun pemergian insan tersayang itu telah melebihi sebulan.
"Hasmah telah pergi lebih sebulan tetapi masih ramai yang menziarah pusaranya.
"Saya merasa amat terharu dan berterima kasih dengan kehadiran serta doa yang tidak putus-putus untuk Hasmah," kata beliau dalam kenyataan tersebut.
Dalam warkah sama, negarawan berusia 101 tahun itu turut menzahirkan permohonan maaf kepada orang ramai kerana tidak berupaya untuk kerap berada di tanah perkuburan bagi bertemu sendiri dengan para pengunjung yang hadir.
"Saya ingin minta maaf kerana tidak dapat sering ke pusara dan bertemu dengan yang datang menziarah pusara isteri saya," jelasnya.
Selain kehadiran fizikal orang ramai di pusara, Dr Mahathir memaklumkan bahawa beliau menerima banyak kiriman surat dan ucapan takziah daripada pelbagai pihak sejak hari pertama pemergian arwah isterinya.
Mengakui kekangan untuk membalas kesemua kiriman itu secara individu, beliau memohon pengertian semua pihak dan menyatakan komitmennya untuk membalas ucapan berkenaan seberapa yang termampu.
"Begitu juga dengan surat-surat, ucapan-ucapan takziah yang diterima. Saya tidak dapat nak jawab satu persatu. Saya cuba jawab seberapa mampu," tambahnya.
Kenyataan bertandatangan itu dikeluarkan secara rasmi dari kediaman beliau di Presint 8, Putrajaya pada Rabu.





