RAWANG | 4 November 2026 – Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di Kuang hari ini memerintahkan seorang pemuda yang pernah tular menyertai ritual keagamaan bertentangan dengan ajaran Islam untuk menjalani proses pemulihan akidah selama tiga bulan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Hulu Yam.
Perintah tersebut diputuskan oleh Hakim Syarie Mohd Faizal Habib terhadap tertuduh, Aliff Daniel Adli, 21, sejurus pemuda berkenaan membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan melakukan amalan pemujaan salah di sebuah kuil di Batu Caves, dua tahun lalu.
Mahkamah dalam penghakimannya turut menasihati tertuduh supaya bertaubat nasuha serta kembali ke landasan syariat yang benar memandangkan tindakan menyertai upacara bertentangan dengan hukum syarak merupakan satu kesalahan berat yang menjejaskan pegangan tauhid.
Menjelaskan asas penghakiman, Mohd Faizal menegaskan bahawa hukuman dalam kes membabitkan pemeliharaan akidah memerlukan pendekatan yang mampu memberi kesedaran dan pemulihan jiwa yang berkekalan, berbanding semata-mata hukuman berbentuk punitif.
"Hukuman mahkamah ini bukan sekadar hukuman kerana melibatkan akidah kamu, tetapi sejauh mana hukuman itu memberi kesan dan pengajaran kepada kamu. Adakah mencukupi untuk mahkamah memerintahkan RM3,000 sebagai bentuk pengajaran dalam kes yang melibatkan akidah dan adakah mencukupi untuk mahkamah menghantar kamu ke penjara dua tahun sebagai satu bentuk pengajaran?
"Mahkamah tidak pasti sejauh mana itu boleh membantu kamu dalam menjadikan kamu manusia yang lebih baik. Namun, mahkamah melihat cadangan (pihak pendakwaan) yang dikemukakan di bawah Seksyen 54 (1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, yang mahkamah boleh pertimbangkan sebagai bentuk pengajaran," ujar beliau.
Menerusi peruntukan Seksyen 54(1) enakmen berkenaan, mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan mana-mana pesalah syariah menjalani proses pemurnian dan pemulihan kefahaman akidah di institusi bertauliah bagi memastikan mereka mendapat bimbingan agama secara menyeluruh - BERNAMA





