SIBU, 17 Nov — Tiga pusat media akan dibuka masing-masing satu di Kuching, Sibu dan Miri bagi memudahkan urusan petugas media membuat liputan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Tiga pusat media bakal dibuka masing-masing di Kuching, Sibu dan Miri dengan kemudahan Internet berkelajuan tinggi, mesin pencetak serta makanan bagi memudahkan urusan petugas media membuat liputan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 - Kredit Foto: Gambar Hiasan / Ilustrasi BNOW
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pusat media yang disediakan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) itu akan dilengkapi kemudahan Internet berkelajuan tinggi, mesin pencetak serta sajian makanan kepada petugas media.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa kesemua 156 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Sarawak, termasuk enam di Sibu, turut dibuka kepada petugas media dengan kemudahan Internet berkelajuan tinggi sekurang-kurangnya 100 megabit sesaat (Mbps).
Menurut Teo, kemudahan NADI di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu boleh dimanfaatkan sebagai ruang kerja oleh petugas media khususnya yang membuat liputan di kawasan pedalaman.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Penyiaran Kawasan Sibu (RTM Sibu) di sini, semalam.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-13 pada 12 Disember depan, manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 28 November dan pengundian awal pada 8 Disember.





