KABONG, 18 Nov — Sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong sebulat suara menyatakan sokongan agar penyandang kerusi berkenaan, Dato Mohd Chee Kadir, terus diberi kepercayaan untuk dicalonkan mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya akan datang.

IMG_2441

Barisan pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong menyatakan pendirian menyokong penyandang kerusi berkenaan, Dato Mohd Chee Kadir, untuk terus dicalonkan mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya akan datang berdasarkan rekod pembangunan yang dilaksanakan di daerah itu - Foto: Grafik BNOW

NGO yang menyuarakan pendirian itu terdiri daripada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong (LAKIK), Persatuan Pesara Kabong (PEKA), Alumni Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong, Unit Saudara Kita (USK) Kabong dan Persatuan Perkumpulan Perempuan Sarawak (PPWS) Zon Kabong.

Turut menyatakan sokongan ialah SABERKAS Kabong, Persatuan Warga Emas (PAWE) Kabong, Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kabong serta Biro Wanita Rumah Panjang N.40 Kabong.

Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kabong, Bujang Lee berkata, sokongan itu diberikan berdasarkan rekod perkhidmatan cemerlang dan pembangunan yang dibawa oleh Chee Kadir sepanjang menerajui kawasan berkenaan.

“Kami melihat sendiri banyak perubahan dan kemudahan yang telah dibawa ke Kabong sepanjang kepimpinan Dato Mohd Chee Kadir. Justeru, kami berharap beliau terus diberi kepercayaan untuk meneruskan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat Kabong,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi LAKIK dan Alumni SK Abang Leman Kabong, Ulin Tabur turut menyatakan keyakinan terhadap kemampuan wakil rakyat berkenaan dalam merealisasikan pelbagai projek demi manfaat penduduk setempat.

“Pelbagai projek pembangunan berjaya direalisasikan sepanjang tempoh beliau menjadi wakil rakyat. Kesinambungan kepimpinan amat penting supaya perancangan yang telah dimulakan dapat diteruskan dan memberi manfaat kepada penduduk,” ujarnya.

Pengerusi PEKA, Ismail Merikan pula berpandangan pengalaman luas dimiliki Chee Kadir merupakan aset penting dalam memacu pembangunan seimbang di DUN Kabong, termasuk menjaga kebajikan golongan pesara di daerah itu.

Bagi Penghulu Lim Kheng Huat, kesinambungan kepimpinan amat diperlukan bagi memastikan momentum projek yang telah dirancang dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan demi generasi akan datang.

Wakil Biro Wanita Rumah Panjang Kawasan N.40 Kabong, Sulan Ganya pula berkata, golongan wanita dan keluarga di luar bandar turut merasai limpahan manfaat menerusi pelbagai program pemerkasaan yang dilaksanakan, manakala Tuai Rumah Gadoh Lawang menyifatkan penyaluran pelbagai kemudahan ke rumah panjang dan kampung sebagai bukti komitmen berterusan beliau.

Dalam pada itu, Pengerusi USK Daerah Kabong, Mohd Iskandar Abdullah menegaskan bahawa sokongan tersebut lahir daripada keyakinan terhadap prestasi serta pencapaian nyata yang dirasai masyarakat, bukannya bersandarkan pandangan individu semata-mata.

Menurut gabungan NGO terbabit, antara faktor utama yang mendorong sokongan itu ialah rekod pembangunan sepanjang dua penggal kepimpinan beliau, merangkumi 99 projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tempoh 2017 hingga 2021 serta 163 projek RTP bagi tempoh 2021 hingga 2026 dengan peruntukan RM30 juta bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Selain itu, sebanyak 110 projek pembangunan dikenal pasti di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) membabitkan kos keseluruhan melebihi RM206.1 juta, dengan 40 projek telah siap dilaksanakan manakala 57 projek lagi masih dalam peringkat perancangan.

Chee Kadir, 73, mula dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2016 menerusi tiket Barisan Nasional dengan meraih 5,069 undi (majoriti 3,585 undi), sebelum berjaya mempertahankan kerusi itu pada PRN 2021 sebagai calon GPS dengan 4,789 undi serta majoriti 2,763 undi.