LAWAS, 15 Nov — Pembangunan dan kemajuan yang dikecapi Sarawak hari ini merupakan hasil kerjasama erat semua kaum tanpa mengira latar belakang, sekali gus menjadi kekuatan utama negeri ini untuk terus berkembang sebagai wilayah yang berdaya saing.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Timbalan Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (tengah) tiba diiringi barisan kepimpinan parti bagi menghadiri Mesyuarat Khas Parti PBB Cawangan Bukit Sari di sebuah hotel di Lawas, pada hari semalam - Foto: Jiwa Bakti.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, tiada satu kaum pun mampu membangunkan serta mentadbir Sarawak secara bersendirian tanpa kerjasama dan sokongan padu daripada kaum lain.
“Pendekatan politik berasaskan kaum dan agama semata-mata boleh menimbulkan kecurigaan serta menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari di sebuah hotel di sini, pada hari semalam.
Awang Tengah yang juga Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB berkata, kedudukan kewangan negeri yang kukuh telah membolehkan kerajaan meluluskan Belanjawan Sarawak 2027 berjumlah RM14.8 bilion, dengan lebih 60 peratus daripadanya diperuntukkan khusus bagi sektor pembangunan.
Menurut beliau, semangat kerjasama dan keharmonian dalam kalangan barisan kepimpinan pelbagai kaum menerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat memudahkan usaha bersama untuk memacu agenda pembangunan negeri.
Tambah beliau, pendekatan inklusif tersebut juga telah membolehkan Sarawak melakar transformasi daripada sebuah wilayah yang pernah terpinggir kepada negeri yang berdaya saing serta berupaya menjana ekonomi demi kemakmuran seluruh rakyat.





