KUCHING, 15 Nov — Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengumumkan senarai penuh kesemua 82 calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 pada 25 November ini.

Premier Sarawak merangkap Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah) bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof (kanan) serta Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (kiri) dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas (dua, kanan) menunjukkan tanda semangat bersama para perwakilan pada Konvensyen Khas Parti PBB Zon Selatan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Kuching, hari ini - Kredit Foto: Bernama
Menurut laporan Bernama, perkara tersebut dimaklumkan oleh Pengerusi GPS yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Abang Johari Tun Openg selepas menghadiri majlis Konvensyen Parti PBB Zon Selatan di sini, hari ini.
Abang Johari turut membayangkan kemungkinan berlaku perubahan dalam senarai calon parti komponen gabungan berkenaan bagi memberi ruang kepada gandingan pemimpin muda serta tokoh berpengalaman.
“Sudah tentu ada kemungkinan pertukaran... kita (GPS) mempunyai yang muda dan yang berpengalaman sebagai calon-calon yang akan diketengahkan.
“Kita akan kongsikan pada 25 Nov ini. Semua 82 calon, tunggulah kelak,” katanya kepada pemberita.





