SIBU | 6 November 2026 – Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM5 juta pada tahun ini bagi pemasangan kemudahan papan putih pintar di lebih 350 bilik darjah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh Sarawak sebagai langkah memperkasa pendigitalan sistem pembelajaran dan memupuk minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

IMG_1317

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian (barisan hadapan, tengah) merakamkan gambar kenangan bersama barisan kepimpinan masyarakat, pihak pengurusan sekolah serta warga pendidik sempena lawatan kerja meninjau pemasangan kemudahan papan putih pintar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Sibu. Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, peruntukan berkenaan merupakan kesinambungan inisiatif tahun lalu yang telah berjaya melengkapkan sebanyak 369 bilik darjah di sekolah rendah aliran Cina dengan teknologi interaktif serupa.

Menurut beliau, langkah pendigitalan bilik darjah ini dirangka bukan sekadar untuk menyediakan fasiliti moden, sebaliknya berfungsi sebagai pelaburan jangka panjang negeri dalam membangunkan modal insan berkualiti tinggi bagi menyokong kerancakan pembangunan ekonomi Sarawak.

“Penekanan terhadap STEM amat penting bagi memastikan Sarawak mampu melahirkan lebih ramai tenaga profesional, pakar dan modal insan berkemahiran tinggi yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pembangunan negeri pada masa depan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke SJKC Chung Hua di sini pada Khamis bagi meninjau sendiri pengoperasian kemudahan papan putih pintar yang telah dipasang. Menerusi inisiatif kerajaan negeri, sebanyak 21 bilik darjah di sekolah berkenaan kini telah beroperasi menggunakan teknologi tersebut.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menambah, komitmen terhadap transformasi pendidikan digital ini bakal diperluas menerusi cadangan peruntukan RM16 juta yang dirancang pada 2027 bagi meliputi sekolah-sekolah di seluruh Sarawak.

“Kemudahan itu akan memberi peluang kepada guru dan murid, termasuk di kawasan pedalaman dan luar bandar, menikmati akses lebih menyeluruh kepada sumber pengajaran digital serta kaedah pembelajaran yang lebih berkesan,” ujar beliau.

Mengulas mengenai sokongan kerajaan terhadap sekolah aliran Cina, Dr Sim memaklumkan Jawatankuasa Perunding Sekolah Cina Sarawak telah ditubuhkan pada 2020 dengan peruntukan awal RM8 juta.

Bermula tahun 2022, peruntukan tahunan berkenaan ditingkatkan kepada RM12 juta setahun dengan keutamaan awal disalurkan bagi kerja-kerja pembesaran fizikal, pembinaan semula serta pemindahan tapak sekolah yang memerlukan.

Turut hadir dalam sesi lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek; Temenggong Dato Vincent Lau Lee Ming; Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Kevin Lau; Pegawai Pendidikan Daerah Sibu, Lau Ngie Tung; Pengerusi Lembaga Pengurusan SJKC Chung Hua, Robert Chew Swee Hiong; serta Guru Besar SJKC Chung Hua, Huong Yew Ho.