SIBU | 3 November 2026 - Lebih 30,000 murid Tahun Enam di seluruh Sarawak bakal menerima enam buku modul dan latihan intensif secara percuma bermula Januari depan dalam usaha memperkukuh pencapaian akademik mereka.

IMG_0905


Inisiatif berkenaan digerakkan oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dengan memfokuskan kepada tiga mata pelajaran teras iaitu Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, modul tersebut dirangka dan diselaraskan secara khusus mengikut format Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UP-DLP) bagi memastikan murid-murid dapat membuat persediaan peperiksaan yang lebih sistematik dan terarah.

“Inisiatif tersebut merangkumi modul khusus bagi subjek Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains untuk memperkasakan penguasaan akademik pelajar.

“Kita akan menyediakan modul intensif dan latihan intensif merangkumi 10 set soalan yang kandungannya akan dikemas kini setiap tahun,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn pada Simposium Kepimpinan Digital 2026 di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Isnin.

Mengulas mengenai status penerbitan buku berkenaan, Dr Annuar mengesahkan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) telah membuat penelitian, meluluskan serta memperakui kandungan modul terbabit selepas melalui proses penambahbaikan mengikut piawaian silibus semasa.

Menurutnya, naskhah pembelajaran tersebut kini sedang giat dicetak dan dijangka siap sepenuhnya untuk diedarkan kepada murid-murid di sekolah berkaitan menjelang sesi persekolahan Januari hadapan.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik pengumuman Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengenai perancangan kerajaan negeri melengkapkan kemudahan papan pintar di 1,400 buah sekolah di seluruh Sarawak.

Langkah pendigitalan bilik darjah itu disifatkannya sebagai pemangkin penting dalam memastikan generasi muda Sarawak celik digital dan menguasai bidang sains serta matematik dengan lebih pantas.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Pendidikan Sarawak, Dr Les Met; Pegawai Pendidikan Daerah Sibu, Lau Ngie Tung; serta Yang Di-Pertua Persatuan Guru Besar Malaysia Cawangan Sarawak, Bazli Nahrawi @ Banju Omping.