SIBU | 5 November 2026 – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) terus memperketat pengawasan di pintu masuk utama Sarawak menerusi lawatan kerja Ketua Pengarahnya, CP Dato' Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain ke Lapangan Terbang Sibu, di sini hari ini.

IMG_1213

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), CP Dato' Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain merakamkan gambar kenangan bersama pegawai serta anggota pelbagai agensi penguatkuasaan dan keselamatan sempena lawatan kerja meninjau kesiapsiagaan operasi pintu masuk udara di Lapangan Terbang Sibu, Sarawak. Foto: Ihsan AKPS 

Tinjauan itu merupakan sebahagian daripada siri pemantauan berterusan AKPS ke pintu masuk negara bagi menilai tahap kesiapsiagaan operasi, keupayaan jentera penguatkuasaan serta keberkesanan pelaksanaan kawalan keselamatan di sektor pintu masuk udara.

Sebagai hab penerbangan strategik di wilayah tengah Sarawak, Lapangan Terbang Sibu memegang peranan penting dalam menghubungkan kawasan berkenaan dengan pusat-pusat ekonomi utama di peringkat domestik mahupun serantau.

Dalam sesi tinjauan tersebut, tumpuan khusus diberikan terhadap aspek penyelarasan antara agensi penguatkuasaan, kecekapan pemeriksaan penumpang dan kargo, serta usaha memperkukuh kawalan keselamatan yang berteraskan risikan dan pemprofilan risiko.

AKPS dalam satu kenyataan menegaskan, seiring dengan pertambahan rangkaian perhubungan udara dan potensi pembangunan ekonomi di wilayah tengah Sarawak, agensi berkenaan komited mengimbangi aspek kelancaran pergerakan penumpang serta barangan dengan keutamaan mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negara.

Langkah pengukuhan ini dijangka meningkatkan ketangkasan anggota keselamatan dalam mengekang sebarang cubaan penyeludupan, kemasukan individu berisiko dan aktiviti rentas sempadan yang menyalahi undang-undang menerusi laluan udara.