SARIKEI, 14 Nov — Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian kerosakan pada pintu besi sebuah premis perniagaan di Jalan Repok, di sini, yang dipercayai berpunca daripada tembakan, semalam.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintenden Aswandy Anis berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung insiden berkenaan pada 13 November 2026 daripada pengadu yang merupakan pemilik premis terbabit.
Menurut beliau, pengadu memaklumkan terdengar bunyi hentaman pada pintu besi kedainya sebanyak tujuh kali sebelum bertindak memeriksa keadaan di luar premis.
"Hasil pemeriksaan pengadu mendapati terdapat tujuh kesan yang dipercayai akibat tembakan pada pintu besi tersebut. Bagaimanapun, tiada sebarang individu ditemui di lokasi kejadian ketika pemeriksaan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Aswandy berkata, pemeriksaan awal pasukan polis di lokasi kejadian turut menemukan dua serpihan objek dipercayai pellet logam di kawasan kaki lima premis berkenaan.
Pemeriksaan lanjut mendapati pintu besi premis itu tidak berlubang dan hanya mengalami kesan kerosakan pada bahagian cat.
"Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti jenis senjata yang digunakan serta mengesan individu yang terlibat dalam kejadian ini.
Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan motif kejadian masih dalam siasatan," ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Firza Ahmad Fauzi di talian 012-9768277 atau hadir ke balai polis berhampiran.
PDRM menegaskan pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan, selain menasihati masyarakat supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam di daerah Sarikei.







