PUTRAJAYA, 19 Nov — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk kecuaian atau pelanggaran tatacara keselamatan susulan kejadian kematian seorang murid Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, Perak.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang kecuaian atau pelanggaran tatacara keselamatan susulan kejadian kematian seorang murid Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, Perak - Foto: Gambar Fail
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan telah mengarahkan kementerian memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh serta telus.
Menurutnya, kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran kawasan kejadian disahkan berfungsi dengan baik dan rakamannya telah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan, manakala pemeriksaan bedah siasat oleh pihak forensik dijadualkan berlangsung pada jam 9.00 pagi esok.
“Beberapa pentadbir dan guru sekolah berkenaan telah diberikan pelepasan tugas sementara bagi membantu siasatan. Saya turut mengarahkan Jemaah Nazir hadir ke sekolah esok untuk meneliti aspek pengurusan dan pematuhan tatacara keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau memaklumkan baru sahaja selesai mengadakan perbincangan bersama pihak-pihak berkaitan berhubung insiden itu, manakala Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak serta Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) telah berada di lokasi bagi menyelaras tindakan segera.
Bagi menjaga kesejahteraan warga sekolah, Fadhlina memberitahu bahawa murid yang tidak terlibat dengan peperiksaan akan dibenarkan pulang pada Jumaat, 20 November 2026, di samping bantuan psikososial yang telah disalurkan kepada pihak yang terkesan.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa serta menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menghormati privasi keluarga terbabit bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa melengkapkan siasatan.





