SIBU, 18 Nov — Seorang bapa bersama anak lelakinya yang berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemuda berusia 19 tahun di Taman Foochow, Jalan Gambir, awal bulan ini.
Dalam pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu, remaja berkenaan dinamakan sebagai tertuduh pertama, manakala bapanya yang berumur 42 tahun sebagai tertuduh kedua.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian terhadap Ryuichi Hii Shan Jie pada 7 November lalu kira-kira jam 12.30 tengah malam.
Majistret Romario Jonoi tidak merekodkan sebarang pengakuan daripada kedua-dua tertuduh memandangkan kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh pertama ditahan di Sekolah Tunas Bakti sementara bapanya direman di Penjara Sibu, dengan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Disember depan.
Kedua-dua beranak itu diwakili peguam Boston Ho.
Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.
Di mahkamah sama, sepupu kepada tertuduh pertama yang berusia 15 tahun turut didakwa di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana menghilangkan bahan bukti pembunuhan tersebut.
Tertuduh didakwa membersihkan sebilah pisau lipat yang disyaki digunakan dalam kejadian itu, membungkusnya menggunakan plastik lutsinar sebelum menyembunyikannya di dalam parit berair di belakang sebuah gudang perabot di Lorong Alan 5D, di sini.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 7 malam pada 7 November lalu dengan niat untuk melindungi tertuduh pertama daripada tindakan undang-undang.
Mahkamah membenarkan remaja yang diwakili peguam Tevaasiny Vijayakumar itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM2,000 tanpa deposit dengan ibu bapanya sebagai penjamin, manakala pengurusan kes praperbicaraan ditetapkan pada 28 Disember depan.
Seksyen 201 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan bagi kedua-dua kes berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syazani Izzaddin Abdul Muadzam.
Dalam perkembangan berasingan, seramai 20 individu lain yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes terbabit telah dibebaskan dengan jaminan RM3,000 setiap seorang di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.
Secara keseluruhan, seramai 23 individu berusia antara 16 hingga 42 tahun telah ditahan polis berhubung kejadian tersebut.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad memaklumkan pihaknya menerima laporan sekitar jam 2 pagi pada 7 November berhubung satu pergaduhan yang menyaksikan seorang lelaki berusia 19 tahun ditikam di bahagian dada menggunakan senjata tajam.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Hospital Sibu dengan laporan bedah siasat mengesahkan kecederaan pada bahagian dada sebagai punca kematian, manakala rakaman video insiden tersebut turut tular di media sosial.





