KUCHING, 9 OKTOBER 2026 — Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak merampas sebanyak 32.73 kilogram dadah jenis Erimin 5 yang dianggarkan bernilai RM3.3 juta dalam satu operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 28 September lalu.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak, berkata operasi itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 25 dan 39 tahun di balai ketibaan lapangan terbang berkenaan.
Menurut beliau, rampasan sebanyak 32,730 gram dadah itu dianggarkan berpotensi menjejaskan sehingga 163,650 pengguna berdasarkan anggaran pihak polis.
Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Ogos 2026, dengan modus operandi mendapatkan bekalan dadah dari Johor Bahru sebelum membawanya ke Kuching menggunakan penerbangan untuk diedarkan di sekitar bandar raya itu.
Seorang suspek positif dadah
DCP Saifullizan berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek berusia 25 tahun positif methamphetamine, amphetamine dan benzodiazepine.
Suspek berkenaan turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau, merangkumi satu rekod kesalahan berkaitan dadah dan dua rekod kesalahan jenayah.
Sementara itu, suspek berusia 39 tahun didapati negatif dadah dalam ujian saringan awal dan mempunyai dua rekod kesalahan jenayah.
Kedua-dua suspek dilaporkan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, masing-masing selama enam hari pada peringkat pertama dan dua hari pada peringkat kedua.
Mereka kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret Kuching mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis perhebat usaha membanteras sindiket
Menurut DCP Saifullizan, kejayaan operasi itu merupakan pencapaian penting JSJN Sarawak dalam usaha membanteras rangkaian pengedaran dadah di negeri ini.
Beliau berkata, pihak polis akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan melalui operasi yang tegas, berfokus dan berimpak tinggi bagi mengesan serta melumpuhkan sindiket pengedaran dadah pada setiap peringkat.
Beliau turut menegaskan komitmen JSJN Sarawak untuk memerangi kegiatan dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah boleh menghubungi talian hotline JSJN di 012-208 7222.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Kumarasan A/L Muniandy; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, ACP Mustafa Kamal Gani bin Abdullah; Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Anak Chabu; serta pengamal media.





