KUCHING | 25 Oktober 2026 - Polis berjaya menumpaskan aktiviti jenayah jalanan selepas menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang disyaki terlibat dalam beberapa siri kejadian ragut di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan tangkapan tersebut dilakukan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching kira-kira jam 1.29 pagi pada 24 Oktober 2026.
Susulan penahanan suspek, pihak polis turut berjaya merampas beberapa barang kes berkaitan satu kes ragut yang dilaporkan berlaku di kawasan Demak pada 21 Oktober lalu.
Hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai 12 rekod kesalahan jenayah lampau. Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atasnya turut mengesahkan suspek positif dadah.
Menurut beliau, suspek kini telah dikenakan perintah reman selama lima hari bagi membantu siasatan lanjut pihak berkuasa.
Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan samun, yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan sehingga 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Insp Muhammad Amirul Azami bin Ahmad Rasol di talian 016-8593994, Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-244444, atau hadir ke balai polis berhampiran.
Pihak Polis Diraja Malaysia amat menghargai kerjasama berterusan masyarakat dalam menyalurkan maklumat bagi membendung jenayah dan memelihara ketenteraman awam.










