KUCHING | 28 Oktober 2026 - Peningkatan peruntukan dana pembiayaan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) sehingga RM500 juta di bawah Belanjawan 2027 dijangka membuka ruang yang lebih luas kepada usahawan Bumiputera Sarawak untuk melonjakkan keupayaan perniagaan ke peringkat rantaian bekalan industri bernilai tinggi.

Peningkatan ini diharap dapat memperluas akses pembiayaan kepada usahawan Bumiputera termasuk di Sarawak, bagi meningkatkan kapasiti dan mengembangkan perniagaan mereka - Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak. Foto: UKAS
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, inisiatif berkenaan berupaya memperkukuh keupayaan syarikat-syarikat tempatan bagi merebut limpahan peluang daripada kepesatan pelaburan dan pertumbuhan sektor perindustrian di bumi Kenyalang.
Menurut beliau, komitmen PUNB dalam memajukan perniagaan Bumiputera di Sarawak terbukti menerusi penyaluran dana sebanyak RM121.2 juta kepada kira-kira 354 syarikat tempatan setakat 3 September 2026.
“Peningkatan ini diharap dapat memperluas akses pembiayaan kepada usahawan Bumiputera termasuk di Sarawak, bagi meningkatkan kapasiti dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya ketika berucap menyempurnakan Program Jaringan Usahawan Negeri Sarawak 2026 di Kuching, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Awang Tengah menggariskan bahawa pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merupakan teras kritikal dalam menjayakan aspirasi Sarawak mencapai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berjumlah RM282 bilion menjelang tahun 2030 di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Ketika ini, Sarawak merekodkan kira-kira 71,000 PMKS dengan hampir 80 peratus daripadanya adalah perusahaan mikro, manakala sumbangan sektor terbabit kepada KDNK negeri dianggarkan sekitar 18 peratus. Sehubungan itu, pemain industri tempatan diseru melipatgandakan daya pengeluaran, kemahiran modal insan, pemerkasaan digital serta kecekapan tadbir urus agar kekal kompetitif.
Pada masa sama, beliau menyarankan agar PUNB mempergiatkan kolaborasi rentas agensi bersama syarikat milik kerajaan negeri seperti Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) untuk membuka ruang penyertaan vendor tempatan dalam sektor strategik termasuk tenaga, pembuatan teknologi tinggi, dan utiliti.
Beliau berkongsi kejayaan program pembangunan vendor SEB yang telah membantu 212 vendor sehingga September 2026, dengan 197 daripadanya berjaya menamatkan bimbingan termasuk 154 vendor Bumiputera.
Bagi menyokong pertumbuhan mampan PMKS, PUNB dijadual melancarkan skim pembiayaan PROSPER GROW PLUSpada Januari 2027 dengan kemudahan dana antara RM1 juta hingga RM10 juta pada kadar keuntungan kompetitif 3.5 peratus setahun bagi tempoh pembiayaan sehingga tujuh tahun.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi PUNB, Tan Sri Rastam Mohd Isa; Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Dato Sri Mohd Naroden Majais; serta Setiausaha Tetap MINTRED, Datu Lester Matthew.





