Bagi orang pesisir Sarawak, jambatan bukan sekadar struktur konkrit, tapi pemutus rantai penantian jadual feri supaya hasil tani dan tangkapan laut terus sampai ke pasar.

Sebab itu, luka lama masih terasa apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 ketika Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan membatalkan tiga projek jambatan utama bernilai RM1.23 bilion.

Menurut pengesahan Kementerian Kerja Raya (KKR) bertarikh 10 Disember 2021, tiga projek yang dibatalkan itu ialah Jambatan Batang Lupar 1 bernilai RM848.75 juta (asalnya pembiayaan bersama 50:50 Putrajaya-negeri), Jambatan Batang Igan (RM285.53 juta), dan Jambatan Batang Rambungan (RM98.49 juta). 

Walaupun DAP Sarawak berhujah peruntukan itu dialihkan ke projek Jalan Penghubung Sarawak-Sabah (SSLR) Fasa 1, kerajaan negeri memilih jalan berbeza.

Lapan tahun berselang, Sarawak membalasnya dengan dana sendiri sekitar RM7 bilion untuk membina 22 buah jambatan dan 15 daripadanya sudah pun siap.

Seperti kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Konvensyen Khas PBB Zon Selatan di Kuching (15 November lalu), "Kau cancel tiga, kami molah 22 sekali."

Dari Mana Datangnya Duit?

Langkah berani membiayai sendiri projek mega ini asalnya dipandang sinis. Pada Jun 2019, Guan Eng pernah memberi amaran bahawa rizab RM30 bilion milik Sarawak boleh licin dalam masa tiga tahun jika terus berbelanja RM11 bilion setahun.

Namun, percaturan Sarawak menguatkuasakan Cukai Jualan Negeri (SST) lima peratus ke atas produk petroleum pada tahun sama mengubah segala-galanya. 

Selepas Mahkamah Tinggi Kuching pada 13 Mac 2020 memihak kepada hak Sarawak dalam pertikaian dengan Petronas, syarikat minyak negara itu melunaskan bayaran cukai hampir RM2.96 bilion bagi tahun 2019 sahaja enam bulan kemudian. Menurut Abang Johari, cukai petroleum ini menyumbang hasil tambahan RM3 bilion hingga RM4 bilion setahun, sekali gus menjadi enjin kewangan utama rangkaian jambatan negeri.

Impak Nyata di Lapangan

Kesan paling manis dirasai penduduk luar bandar. Di kawasan DUN Jemoreng yang diwakili Datuk Dr Juanda Jaya, pembukaan Jambatan Batang Igan pada 16 Mac lalu menamatkan penantian puluhan tahun penduduk. Perjalanan menyeberang sungai yang dulu memakan masa hampir 30 minit menaiki feri kini cuma mengambil masa sekitar seminit membuka ruang ekonomi baharu buat petani dan nelayan seperti yang disasarkan sejak majlis pecah tanah pada September 2020.

Rentak itu disusuli perasmian Jambatan Batang Lupar 1 sepanjang 5.1 kilometer pada 9 Julai lalu, serta pembukaan Jambatan Sejingkat pada 20 November.

Taruhan Utama Menjelang PRN-13

Keupayaan membina infrastruktur tanpa bergantung pada Putrajaya turut mengukuhkan cengkaman politik Gabungan Parti Sarawak (GPS). Sejak ditubuhkan pada 12 Jun 2018 selepas PBB, SUPP, PRS dan PDP keluar daripada Barisan Nasional (BN), GPS menyapu bersih 76 daripada 82 kerusi pada PRN 2021. Ketika itu, DAP hilang lima daripada tujuh kerusi (hanya kekal di Padungan dan Pending), manakala PKR tewas di kesemua 28 kerusi yang ditandingi.

Pengaruh GPS makin berbisa pada PRU15 dengan kemenangan 23 daripada 31 kerusi Parlimen, menjadikannya blok keempat terbesar di Dewan Rakyat dan tonggak Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus melakar sejarah apabila Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pertama dari Sabah dan Sarawak.

Kini, menjelang PRN Sarawak Ke-13 pada 12 Disember ini (penamaan calon 28 November), GPS turun gelanggang selaku penyandang yang menguasai 79 daripada 82 kerusi sebelum DUN dibubarkan, berbanding dua kerusi milik DAP dan satu Bebas. 

Dengan BN, PAS dan Amanah sah tidak bertanding manakala DAP serta PKR masih memuktamadkan calon, rekod pembangunan jambatan bernilai berbilion ringgit ini jelas menjadi modal paling ampuh GPS untuk terus kekal berkuasa.