SARAWAK I KUCHING I 26 NOVEMBER 2026 - Warisan budaya negeri ini berpotensi besar dibangunkan sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu yang mampu mencipta peluang pekerjaan serta menjana pendapatan kepada rakyat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan meneliti buku program pada Persidangan Antarabangsa Hikayat Panglima Nikosa di Wisma Melayu Sarawak, Kuching menyarankan karya sastera bersejarah negeri itu diadaptasi ke produk ekonomi kreatif digital - Foto: UKAS
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sebagai contoh, karya sastera bersejarah Hikayat Panglima Nikosa yang diterbitkan di Kuching pada tahun 1876 boleh diolah menjadi pelbagai produk ekonomi kreatif bagi memperkenalkan naskhah tersebut kepada generasi muda.
“Warisan budaya tidak seharusnya dilihat sekadar aset sejarah yang perlu dipelihara semata-mata, tetapi juga sebagai sumber potensi bagi kreativiti, inovasi dan peluang keusahawanan.
“Bayangkan karya sastera ini diadaptasi ke dalam bentuk e-buku dan penerbitan digital, dokumentari dan animasi, filem serta pementasan teater, permainan digital, aplikasi pendidikan, selain produk pelancongan warisan dan budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Hikayat Panglima Nikosa di Wisma Melayu Sarawak, di sini pada Rabu.
Datuk Amar Awang Tengah yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) menambah, usaha memanfaatkan potensi berkenaan wajar melibatkan golongan belia, syarikat teknologi, penggiat seni dan usahawan tempatan dalam membangunkan produk digital serta kreatif berasaskan warisan.
Dalam pada itu, beliau turut mengemukakan lima cadangan bagi memastikan usaha memartabatkan warisan budaya terus diperkasa, termasuk memperkukuh penyelidikan dan pendokumentasian, memperluas pendidikan serta penyebaran ilmu, dan membangunkan industri kreatif berasaskan warisan.
Cadangan lain merangkumi usaha mewujudkan rangkaian akademik antarabangsa serta melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, berkemahiran teknologi dan berdaya saing di peringkat global.





