KUCHING | 22 November 2026 - Penyerahan surat hak milik tanah bukan sekadar urusan pentadbiran kerajaan, sebaliknya menjadi pengiktirafan terhadap hak masyarakat serta memberikan kepastian pemilikan kepada penduduk yang sekian lama menantikannya.

IMG_2891

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak Kawasan DUN Pantai Damai, pada Ahad -Foto: UKAS

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pengiktirafan itu memberi asas kukuh kepada penerima untuk merancang masa depan, mengusahakan tanah secara produktif serta menyediakan warisan bernilai buat generasi akan datang.

"Kalau boleh, janganlah dijual. Untuk dimanfaatkan secara bertanggungjawab dan diusahakan untuk meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan keluarga masing-masing.

"Janganlah kita melihat tanah ini sekadar sebagai satu aset yang dimiliki tetapi lihatlah tanah ini sebagai satu amanah dan peluang untuk kita membina kehidupan keluarga yang lebih baik dan bekalan kepada generasi anak dan cucu-cucu kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah DUN Pantai Damai yang disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sini, pada Ahad.

Pada majlis itu, seramai 338 penduduk dari enam buah kampung di kawasan DUN Pantai Damai menerima sebanyak 362 Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak yang melibatkan keluasan keseluruhan 45.808 hektar.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Rahman menyifatkan penyerahan tersebut sebagai bukti komitmen kerajaan Sarawak dalam memacu kemajuan negeri menerusi pelbagai dasar dan projek pembangunan.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar terus memberikan sokongan, kerjasama serta penglibatan aktif bagi menjayakan setiap perancangan pembangunan yang diatur kerajaan.