KUCHING, 15 Nov — Sarawak menyasarkan kedudukan sebagai hab ekonomi serantau menerusi pelaksanaan agenda pemodenan ekonomi yang inklusif, sekali gus membuka lebih banyak ruang penyertaan kepada seluruh lapisan masyarakat.

IMG_2145

Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berucap pada majlis perasmian Konvensyen Khas PBB Zon Selatan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Kuching, hari ini - Kredit Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) / Ibanez

Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, agenda pembangunan negeri perlu diteruskan dengan mengambil kira kepentingan generasi akan datang serta memastikan kemakmuran ekonomi dapat dinikmati bersama.

“Kita tidak akan berganjak untuk memodenkan Sarawak supaya ia boleh bersaing dengan dunia. Ini perjuangan kita. Saya tidak akan menarik diri daripada itu. Kita akan meletakkan Sarawak sebagai hab di Asia dan di rantau ini, malah ke peringkat dunia dari sudut teknologi,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan perasmian Konvensyen Khas PBB Zon Selatan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan bahawa peluang dalam sektor ekonomi baharu mesti dibuka secara adil kepada semua kaum termasuk masyarakat Cina, Melayu, Iban, Orang Ulu dan Bidayuh.

Menurut beliau, penyertaan aktif seluruh rakyat dalam sektor ekonomi baharu amat penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri dapat diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan serta kesejahteraan masyarakat.

Beliau turut menegaskan bahawa segala kemajuan yang dicapai Sarawak sepanjang tempoh sembilan tahun lalu bukanlah hasil usaha seorang pemimpin semata-mata, sebaliknya merupakan pencapaian bersama seluruh rakyat negeri ini.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof; Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar serta dif-dif kenamaan lain.