KOTA SAMARAHAN, 17 Nov — Persiapan menjelang penganjuran Program Sarawakku Sayang 2026 bagi Bahagian Samarahan dan Kuching terus dipergiat dengan memberi penekanan terhadap kesiapsiagaan lokasi, kelancaran pengisian program serta penyelarasan bersepadu antara agensi kerajaan.

IMG_2248

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua (tengah) meninjau persiapan tapak penganjuran Program Sarawakku Sayang 2026 di Halaman Samarahan, Kota Samarahan, semalam - Kredit Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

Sehubungan itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua telah mengadakan lawatan kerja ke tapak penganjuran program di Halaman Samarahan, di sini, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Program Sarawakku Sayang 2026 Zon Selatan bagi Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian meninjau kemajuan persiapan bagi memastikan segala keperluan penganjuran dilaksanakan mengikut perancangan dan jadual yang ditetapkan.

Majlis perasmian program di Samarahan pada 23 November dan di Kuching pada 25 November ini dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Sepanjang penganjuran program berkenaan, para pengunjung bakal disajikan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk pameran jabatan dan agensi kerajaan, kaunter perkhidmatan, gerai jualan, Konsert Rakyat, Malam Budaya Sarawak serta aktiviti sukan.

Program tersebut turut menjadi platform strategik untuk mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, di samping memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dengan masyarakat setempat.

Selesai lawatan tapak, Datu Felicia mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program Sarawakku Sayang Bahagian Samarahan dan Kuching di Bilik Mesyuarat Pejabat RISDA Sarawak.

Mesyuarat itu memberi penekanan terhadap komitmen semua jawatankuasa dan agensi terlibat bagi memastikan setiap aspek penganjuran diselaraskan dengan rapi, sekali gus menjamin kelancaran program serta manfaat optimum kepada rakyat.

Turut hadir ialah Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang serta Residen Bahagian Kuching, Hajah Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi.