
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu @ Aman Anak Begri, menandatangani buku pelawat sambil diiringi pegawai kanan semasa mengadakan kunjungan kerja ke pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sarawak di Kuching - Foto: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak
KUCHING, 10 Nov — Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu @ Aman Anak Begri, mencadangkan pembinaan sebuah stesen pemantauan kualiti udara automatik di Bahagian Betong bagi memperkukuh kesiapsiagaan pengurusan bencana serta keselamatan alam sekitar di kawasan berkenaan.
Cadangan tersebut dibangkitkan semasa beliau mengadakan kunjungan rasmi ke pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sarawak di Kuching, pada Isnin.
Menurut Dr. Richard, kewujudan stesen automatik berkenaan amat diperlukan bagi membekalkan data bacaan kualiti udara secara masa nyata (real-time), sekali gus membolehkan pihak berkuasa tempatan khususnya Residen Bahagian Betong selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian membuat keputusan serta intervensi yang tepat sewaktu berdepan isu pencemaran udara atau jerebu.
Bagi merealisasikan perancangan itu, beliau menyarankan JAS Sarawak menjalinkan kerjasama rapat dengan Pejabat Residen Bahagian Betong dan Pejabat Daerah berkaitan bagi mengenal pasti lokasi strategik yang memenuhi spesifikasi teknikal penempatan stesen pengawasan tersebut.
Penilaian tapak berkenaan dijangka membolehkan JAS Sarawak merangka kertas cadangan komprehensif bagi memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan persekutuan untuk membiayai projek pembinaan stesen pemantauan udara automatik tersebut.
Langkah ini dilihat berupaya merapatkan jurang capaian data kualiti udara di wilayah tengah dan selatan Sarawak, selari dengan usaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam memperluas rangkaian pemantauan alam sekitar negara secara mampan.





