KUCHING, 9 Nov — Pertembungan tiga penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru pada Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13) bakal menjadi medan ujian getir terhadap keupayaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempertahankan penguasaannya di kawasan majoriti komuniti Bidayuh tersebut.

IMG_1618

Penganalisis politik Dato Peter Minos menyifatkan pertembungan tiga penjuru di DUN Tasik Biru pada PRN13 bakal menjadi medan ujian getir kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mempertahankan kerusi majoriti Bidayuh berkenaan - Gambar Fail

Penganalisis politik Dato Peter Minos menyatakan bahawa walaupun penyandang kerusi daripada GPS, Datuk Henry Harry Jinep, memiliki kelebihan rekod pembangunan fizikal dan pelaksanaan inisiatif kebajikan rakyat, gabungan pemerintah itu tidak wajar memandang ringan persaingan daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).

Menurut Minos, kehadiran PBDS berpotensi mencetuskan perpecahan undi tradisi masyarakat Bidayuh, sekali gus mengubah imbangan kekuatan undi di kawasan pinggir bandar berkenaan.

Pada masa sama, kedudukan DAP dinilai memiliki kelebihan strategik berikutan kejayaan wakilnya, Mordi Bimol, memenangi kerusi Parlimen Mas Gading yang merangkumi kawasan Tasik Biru, membuktikan kewujudan asas sokongan akar umbi yang kukuh dalam kalangan pengundi tempatan.

"GPS menerusi Henry sememangnya dikenali kerana telah banyak melakukan pembangunan dan membawa manfaat kepada rakyat di kawasan Tasik Biru. Namun begitu, DAP tidak boleh dipandang rendah. Dengan kemunculan PBDS, DAP kini menjadi ancaman sebenar kepada GPS," katanya.

Faktor komposisi demografi turut dilihat memainkan peranan penentu, dengan kecenderungan sebahagian pengundi komuniti Cina menyokong DAP, sementara undi kelompok Bidayuh pula berisiko terbahagi susulan penyertaan PBDS dalam saingan pilihan raya tersebut.

Mengulas lanjut mengenai dinamika kempen, Minos menegaskan GPS tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada naratif rekod prestasi semata-mata, sebaliknya perlu mengimbangi strategi komunikasi lawan bagi mempertahankan kerusi tersebut.

Beliau mendakwa pendekatan naratif kempen pembangkang berupaya mempengaruhi persepsi pengundi sekiranya penilaian tidak disandarkan kepada fakta serta pencapaian perkhidmatan.

Sehubungan itu, beliau menyarankan para pengundi di Tasik Biru agar meneliti rekod pelaksanaan dasar dan kestabilan jangka panjang sebelum membuat keputusan di peti undi, sambil menjangkakan kerusi itu bakal menyaksikan antara pertembungan paling sengit di wilayah selatan Sarawak pada PRN13.