LAWAS, 9 Nov — Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Lawas mendesak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak melaksanakan audit menyeluruh terhadap pengurusan, peruntukan serta pelaksanaan projek bekalan air di daerah itu bagi tempoh 2021 hingga 2026.

IMG_1620

Ketua Cabang PKR Lawas, Muhd Zahid Matserudin, mendesak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak melaksanakan audit menyeluruh terhadap pengurusan peruntukan dan pelaksanaan projek bekalan air di daerah Lawas bagi tempoh 2021 hingga 2026 - Foto: PKR Lawas

Ketua Cabang PKR Lawas, Muhd Zahid Matserudin, berkata gangguan bekalan air bersih yang berpanjangan di kawasan berkenaan menimbulkan persoalan serius mengenai kecekapan perancangan serta integriti pelaksanaan infrastruktur asas awam.

Sehubungan itu, pihak jabatan digesa mendedahkan jumlah sebenar peruntukan dana awam yang diluluskan, disalurkan dan dibelanjakan sepanjang tempoh lima tahun tersebut bagi memastikan akauntabiliti perbelanjaan.

Menurut beliau, ketelusan turut dituntut berhubung penilaian prestasi kontraktor yang dilantik, punca kelewatan kerja di tapak pembinaan, serta keberkesanan impak projek dalam meningkatkan kapasiti bekalan air kepada pengguna domestik.

"Rakyat berhak mengetahui bagaimana wang awam diuruskan dan mengapa masalah asas yang menjejaskan kehidupan seharian mereka masih berlarutan," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Zahid turut mencadangkan agar pihak berkuasa berkaitan mempertimbangkan audit bebas sekiranya penilaian dalaman agensi terbabit gagal memberikan justifikasi yang meyakinkan kepada masyarakat.

Beliau menambah, sekiranya audit menemukan bukti atau petunjuk munasabah berhubung ketirisan dana, tuntutan palsu, penyelewengan peruntukan atau salah guna kuasa, perkara tersebut wajar dirujuk terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut mengikut lunas undang-undang.

Bagaimanapun, PKR Lawas menegaskan desakan berkenaan bukan bertujuan membuat tuduhan rambang terhadap mana-mana pegawai agensi mahupun kontraktor, sebaliknya bermatlamat memastikan pengurusan dana awam dinilai secara profesional dan telus.

Bagi tujuan itu, PKR Lawas memberikan tempoh 30 hari kepada JBALB Sarawak untuk mengemukakan laporan status komprehensif bagi setiap projek bekalan air di daerah berkenaan dari 2021 hingga 2026.

Laporan itu perlu memperincikan nama dan lokasi projek, nilai peruntukan, kontraktor terlibat, jadual asal kerja, tahap kemajuan fizikal semasa, serta faktor kelewatan sekiranya wujud.