KUCHING, 9 Nov — Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) akan mengaktifkan perkhidmatan talian Helpdesk bermula 16 November hingga 11 Disember depan bagi menyokong penugasan pengamal media sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

IMG_1606

Timbalan Pengarah I Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Mohamed Faizal Shah Ali, menyampaikan taklimat mengenai pembukaan talian Helpdesk bagi menyokong keperluan liputan pengamal media sempena PRN Sarawak semasa Bengkel NEWS360 di Kuching - Kredit Foto: UKAS

Inisiatif tersebut berfungsi sebagai pusat rujukan sehenti bagi membekalkan data rasmi pilihan raya, termasuk maklumat penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta rekod keputusan pilihan raya terdahulu kepada wartawan tempatan dan luar.

Timbalan Pengarah I UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali, berkata kemudahan berkenaan turut menyelaras perincian mengenai senarai calon bertanding sejurus selesai proses penamaan calon, di samping pemantauan aktiviti kempen lapangan dan maklumat ramalan cuaca semasa bagi memudahkan perancangan liputan logistik agensi media.

“Helpdesk turut menyediakan maklumat mengenai calon-calon bertanding selepas hari penamaan calon, termasuk aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen bagi membantu keperluan liputan media.

“Perkhidmatan tersebut juga akan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti calon-calon serta menyediakan maklumat ramalan cuaca bagi membantu pengamal media merancang tugasan dan liputan sepanjang tempoh kempen,” katanya semasa menyampaikan taklimat pada Bengkel NEWS360 di Kuching, pada Isnin.

Talian bantuan menerusi nombor 082-514061 itu akan beroperasi setiap hari dalam dua sesi, iaitu dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang, serta 6.00 petang hingga 10.00 malam sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Taklimat berkenaan diadakan bersempena penganjuran bengkel latihan dua hari bermula 9 hingga 10 November yang menghimpunkan 45 pengamal media tempatan bagi memperkemas kemahiran pelaporan televisyen, radio dan digital. Siri latihan penutup itu menyusuli penganjuran program terdahulu yang diadakan di Sibu bagi Zon Tengah dan Miri bagi Zon Utara.

Berdasarkan penetapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hari penamaan calon bagi PRN Sarawak dijadualkan pada 28 November, diikuti hari pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian rasmi pada 12 Disember 2026.