SIMANGGANG | 26 Oktober 2026 - Persiapan bagi penganjuran Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Zon Selatan Bahagian Sri Aman kini memasuki fasa akhir bagi memastikan kelancaran operasi di Kompleks Sukan Sri Aman yang dijadualkan berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November ini.

Foto: UKAS
Bagi memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap optimum, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program SKS 2026 Zon Selatan Bahagian Sri Aman, Datu Hii Chang Kee telah turun padang melakukan tinjauan tapak pada pagi Isnin.
Lawatan yang bermula sekitar jam 9.15 pagi itu turut disertai Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh bersama barisan wakil jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dalam jawatankuasa penganjuran.
Sepanjang sesi tinjauan berkenaan, Datu Hii meneliti secara terperinci setiap aspek teknikal dan operasi merangkumi susun atur khemah pameran, aliran pergerakan trafik dan pengunjung, penyediaan kemudahan asas, serta kawalan keselamatan.
Tumpuan rapi turut diberikan terhadap persiapan protokol bagi menyambut ketibaan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang dijadualkan menyempurnakan majlis perasmian pada 31 Oktober ini.
Sejurus selesai pemeriksaan fizikal di lokasi acara, Datu Hii mempengerusikan mesyuarat penyelarasan di Wisma Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) bagi memperincikan agihan tugas, jadual operasi, serta pelan kontingensi bagi memastikan setiap persiapan disempurnakan mengikut garis masa yang ditetapkan.
Penganjuran SKS 2026 Bahagian Sri Aman kali ini menyasarkan kehadiran sehingga 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari pelaksanaannya.
Sebanyak 170 kaunter perkhidmatan fizikal yang melibatkan 52 kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bakal beroperasi secara berpusat bagi memudahkan orang ramai menyelesaikan pelbagai urusan rasmi secara terus tanpa birokrasi yang rumit.
Di samping khidmat kaunter, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran pembangunan Sarawak, persembahan kebudayaan, Konsert Rakyat serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan sukan.
Inisiatif SKS 2026 kekal menjadi platform strategik kerajaan negeri dalam memperkukuh jambatan komunikasi bersama rakyat serta mempermudah capaian kepada perkhidmatan awam.





