KUCHING | 3 November 2026 - Persiapan bagi penganjuran Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak dan Anugerah Inovasi dan Kreativiti Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2026 kini berada pada tahap optimum susulan sesi raptai penuh yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Selasa.

IMG_1038

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki meneliti persiapan akhir bersama pegawai kanan kerajaan semasa menghadiri raptai penuh Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak dan Anugerah Inovasi dan Kreativiti Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK). Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

Sesi raptai penuh berkenaan dihadiri dan diselia sendiri oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bagi memastikan setiap aspek protokol, teknikal serta persembahan majlis berjalan lancar menjelang acara kemuncak yang dijadualkan berlangsung esok, 4 November 2026.

Membawa tema berwawasan ‘Future Ready Civil Service’, majlis sambutan tahunan tersebut bakal disempurnakan perasmiannya oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Antara pengisian utama majlis merangkumi persembahan koir bersemangat menerusi dua buah lagu korporat, Perkhidmatan Awam dan An Honour to Serve, bacaan doa kesyukuran, serta lafaz ikrar taat setia Perkhidmatan Awam Sarawak.

Atur cara turut menampilkan ucapan alu-aluan oleh Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, disusuli ucapan Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nazri Mohd Hassan, sekali gus mencerminkan kerjasama erat jentera pentadbiran negeri dan persekutuan.

Selain itu, sebuah tayangan video khas memaparkan evolusi perkhidmatan awam dan dokumentasi SCSICA 2026 bakal dipertontonkan kepada ribuan perwakilan yang hadir.

Kemuncak majlis bakal tertumpu kepada penyampaian amanat khas oleh Premier Sarawak serta upacara penyampaian anugerah SCSICA 2026 sebagai pengiktirafan tertinggi kerajaan terhadap agensi dan penjawat awam yang membuktikan kecemerlangan, impak inovasi, serta daya kreativiti dalam sistem penyampaian awam.

Platform ini bertujuan menghargai jasa dan sumbangan berterusan warga kerja sektor awam, di samping memperkukuh iltizam kolektif ke arah melahirkan jentera pentadbiran yang berdaya tahan, tangkas, dan mampu memacu aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Turut hadir menyertai raptai berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua; Pengarah Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia (HRDM) Jabatan Premier Sarawak, Datu Sharifah Rohana Datu Wan Alwi; Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman; serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak (MSS), Dr Suffian Jalet.