BETONG | 3 OKTOBER 2026 — Pemantauan pemakanan dan tumbesaran kanak-kanak mungkin diperluas ke peringkat prasekolah menerusi penggunaan Stunting Kit yang dibangunkan penyelidik Universiti Malaya (UM).
Cadangan itu termasuk kemungkinan penggunaannya melalui institusi KEMAS dan sedang dibincangkan untuk dikemukakan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti serta Kementerian Kesihatan bagi pertimbangan lanjut.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap ADUN Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata peluasan tersebut boleh membantu meningkatkan perhatian terhadap pemakanan dan tumbesaran kanak-kanak sejak usia awal.
“Kit ini bertujuan membantu memastikan anak-anak kita membesar dengan sempurna dari segi fizikal dan mental supaya mereka dapat mencapai potensi yang lebih tinggi.
“Ini juga memberi pendedahan kepada masyarakat tentang pentingnya pemakanan yang berkhasiat untuk tumbesaran anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan pelancaran Stunting Kit sempena Program UM-ASSIST Betong Edition 2026 di Dewan Panglima Rentap, Betong, pada Sabtu.
Menurut Gerald, perhatian terhadap pemakanan sejak peringkat awal penting bagi menyokong perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak, selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai risiko masalah pertumbuhan.
Beliau turut menyifatkan kesihatan kanak-kanak sebagai satu bentuk pelaburan jangka panjang dalam membentuk generasi yang sihat dan berdaya saing.
KIT UNTUK PEMANTAUAN DI RUMAH
Stunting Kit dibangunkan penyelidik dan ahli akademik UM menerusi Fakulti Sains Sukan dan Sains Eksesais sebagai alat bantu kepada ibu bapa untuk memantau serta merekod aspek pemakanan dan tumbesaran anak.
Kit tersebut mengandungi Buku Nutri Sukan 360, Carta Ketinggian Lipat, Pita Pengukur, Carta Pemakanan Sihatserta Pinggan Suku Suku Separuh.
Gabungan bahan itu direka untuk membantu ibu bapa memahami keperluan pemakanan serta perubahan tumbesaran anak dari semasa ke semasa.
Cadangan memperluas penggunaannya ke institusi prasekolah pula membuka ruang kepada pendekatan pemantauan yang lebih awal, khususnya dalam meningkatkan kesedaran ibu bapa dan komuniti mengenai pemakanan kanak-kanak.
Bagi Gerald, usaha tersebut bukan hanya berkaitan mengesan masalah tumbesaran, tetapi turut membina pengetahuan keluarga mengenai kepentingan pemakanan yang seimbang sejak anak masih kecil.
Turut hadir Pengarah Pusat Jalinan Komuniti Universiti Malaya, Profesor Madya ChM. Dr Noraini Ahmad; Pengarah Program UM-ASSIST Betong Edition 2026, Dr Cassendra Gilbert; serta wakil Residen Bahagian Betong, Florence Bulan.





