KUCHING | 27 Oktober 2026 - Kerajaan Persekutuan Rusia menyatakan minat mendalam untuk menjalin kerjasama dua hala bersama Sarawak dalam memajukan sektor pertanian, khususnya membabitkan pemindahan teknologi penanaman padi, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta pengeluaran makanan haiwan.

IMG_9062

Foto: Ibanez Jeffery | UKAS

Hasrat tersebut dizahirkan oleh Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia, Naiyl M. Latypov, yang melihat potensi besar untuk berkolaborasi berasaskan kekuatan kepakaran, teknologi moden, dan pengetahuan tempatan yang dimiliki Sarawak dalam bidang agromakanan serta veterinar.

“Kami amat berminat dengan pengalaman dan keupayaan Sarawak dalam bidang veterinar, khususnya dalam pengeluaran makanan haiwan, termasuk kaedah penghasilannya serta jenis ubat-ubatan yang boleh dihasilkan untuk haiwan.

“Kami juga berminat dengan teknologi dan pengetahuan Sarawak dalam penanaman padi,” jelas beliau kepada pemberita.

Kenyataan berkenaan dibuat sejurus selepas beliau mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya pada Selasa.

Mengulas lanjut, Latypov menjelaskan bahawa walaupun Rusia lazimnya sinonim sebagai sebuah negara beriklim sejuk, keluasan geografi wilayahnya turut merangkumi zon iklim berbeza yang mempunyai kesesuaian bagi aktiviti pengeluaran tanaman padi.

Sehubungan itu, pengalaman luas serta kaedah berteknologi yang dipraktikkan di Sarawak berpotensi menjadi asas kukuh kepada program pertukaran kepakaran saintifik serta kerjasama penyelidikan rentas sempadan bagi meningkatkan hasil produktiviti pertanian kedua-dua pihak.

Kerjasama ini dijangka menyokong aspirasi jangka panjang Sarawak dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan (food security) serta memacu sektor pertanian bernilai tinggi selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).