KUCHING | 27 Oktober 2026 - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dimaklumkan secara rasmi mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang berkuat kuasa pada 26 Oktober lepas bagi membolehkan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN-13) diatur mengikut lunas perlembagaan.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar memaklumkan bahawa notis pemakluman rasmi berkenaan dikemukakan menerusi surat bertarikh 27 Oktober 2026 yang dialamatkan kepada Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Datuk Harun.
Bercakap pada Sidang Media Khas mengenai Pembubaran DUN Sarawak di Bangunan DUN Sarawak hari ini, beliau menjelaskan bahawa urusan penetapan tarikh penamaan calon, hari pengundian serta gerak kerja pilihan raya adalah tertakluk sepenuhnya di bawah bidang kuasa eksekutif SPR selaras dengan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
“Selepas DUN dibubarkan, SPR akan mengeluarkan writ pilihan raya yang ditujukan kepada pegawai pengurus pilihan raya bagi setiap kawasan pilihan raya negeri. SPR kemudiannya menerbitkan notis pilihan raya dalam Warta Kerajaan yang menetapkan tarikh berkaitan bagi proses pencalonan, penamaan calon dan hari pengundian.
“Proses ini berpandukan Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958 serta Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1961,” katanya.

Mengulas mengenai tempoh masa pelaksanaan, beliau menambah bahawa berasaskan Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak, pilihan raya umum negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran, manakala persidangan pertama DUN baharu mesti diadakan dalam tempoh tidak melebihi 120 hari dari tarikh yang sama.
Dalam perkembangan sama, Tan Sri Asfia mendedahkan bahawa PRN-13 hanya akan melibatkan 82 kerusi DUN sedia ada, manakala 17 kerusi tambahan yang diluluskan oleh DUN Sarawak pada 7 Julai 2025 tidak dapat diguna pakai bagi edisi kali ini.
“Dukacita dimaklumkan bahawa 17 kerusi tambahan yang diluluskan oleh DUN Sarawak pada 7 Julai 2025 tidak dapat digunakan dalam pilihan raya kali ini kerana proses berkaitan tidak sempat diselesaikan untuk membolehkan kerusi-kerusi tersebut digunakan,” jelas beliau.
Pembubaran rasmi DUN Sarawak berkuat kuasa 26 Oktober ini dibuat susulan pemeteraian Surat Cara Perisytiharan Pembubaran DUN oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 23 Oktober lalu, sekali gus menyerahkan mandat kepada rakyat bagi memilih barisan kepimpinan baharu negeri.





