KUCHING | 25 Oktober 2026 - Keindahan seni muzik tradisional serta kekayaan warisan budaya Borneo diangkat secara gemilang menerusi penganjuran program Sound of Borneo 2026 yang menghidupkan suasana Pentas Kesenian Sarawak Regatta 2026 di Kuching Waterfront, pada Sabtu.

Turut hadir menyerikan majlis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak (MSS), Dr Suffian Jalet; Ahli Lembaga Pengarah MSS, Dr Kamil Salem; Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sarawak, Noor Seela Noor Sulaiman; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MSS (Operasi), Awang Ikman Awang Sepian; Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MSS (Kesenian dan Kebudayaan), Easter Melebeh; serta Pegawai Tadbir yang mewakili Residen Bahagian Kuching, Siti Rohaya Wahet. - Foto: UKAS
Program berprestij ini menghimpunkan barisan artis dan pemuzik tempatan terkemuka, di samping menjadi platform penting untuk mengetengahkan identiti seni muzik etnik Sarawak kepada masyarakat tempatan serta pelancong luar.
Antara nama besar yang menjayakan persembahan bertenaga pada hari tersebut termasuklah Jerry Kamit, Fauziah Gambus, Razali Kulingtangan, dan Suk Bini’e, serta diperindahkan lagi dengan persembahan daripada Orkestra Tradisional Negeri Sarawak (TONS).
Tirai persembahan dibuka secara rasmi oleh TONS sebelum diteruskan dengan siri persembahan instrumental dan muzik secara langsung yang menonjolkan keunikan alat muzik serta irama tradisional masyarakat Borneo. Suasana di tapak acara turut bertambah meriah dengan penganjuran sesi kuiz interaktif bersama penonton yang menawarkan pelbagai hadiah menarik, sekaligus menyemarakkan keterlibatan orang ramai.
Kemuncak program diserikan dengan persembahan medley Ritma Sarawak oleh TONS sebelum kesemua artis bergabung tenaga mengadakan persembahan finale di atas satu pentas.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, yang meluangkan masa menyaksikan persembahan kebudayaan itu sebelum diakhiri dengan sesi bergambar kenangan bersama barisan artis dan tetamu kehormat.
Penganjuran Sound of Borneo 2026 sebagai sebahagian daripada pengisian Pentas Kesenian Sarawak Regatta 2026 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dan agensi terbabit dalam memelihara warisan seni tempatan, di samping memperkukuh daya tarikan Kuching sebagai kota pelancongan kebudayaan bertaraf antarabangsa.
Turut hadir menyerikan majlis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak (MSS), Dr Suffian Jalet; Ahli Lembaga Pengarah MSS, Dr Kamil Salem; Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sarawak, Noor Seela Noor Sulaiman; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MSS (Operasi), Awang Ikman Awang Sepian; Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MSS (Kesenian dan Kebudayaan), Easter Melebeh; serta Pegawai Tadbir yang mewakili Residen Bahagian Kuching, Siti Rohaya Wahet.





