KINABALU PARK | 30 OKTOBER – 1 NOVEMBER 2026 — Dunia fotografi burung bakal meriah di Sabah apabila Sony menganjurkan Alpha Mini Bird Festival – Kinabalu Park Edition, yang menghimpunkan komuniti fotografi dalam satu pertandingan berlatarkan kepelbagaian alam semula jadi Taman Kinabalu.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu dibuka kepada semua jenama kamera, menjadikan pertandingan berkenaan bukan eksklusif kepada pengguna kamera Sony.

Menariknya, peserta yang ingin mencuba sistem Sony turut diberikan peluang meminjam kamera dan lensa Sony secara percuma, tertakluk kepada ketersediaan peralatan dan syarat penganjur.

Pertandingan fotografi burung dijadualkan bermula pada pagi 31 Oktober, selepas sesi pendaftaran, pengenalan serta perkongsian asas fotografi burung dan tetapan kamera pada hari pertama.

Peserta juga akan menyertai sesi guided bird photography walk bersama Sony Alpha Guru pada sebelah pagi 31 Oktober sebelum meneruskan aktiviti pertandingan dan pemulangan peralatan.

Festival berkenaan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM27,000, termasuk lensa Sony FE 200-600mm F5.6-6.3 G OSS bernilai RM7,599 sebagai hadiah utama.

Antara hadiah lain termasuk penginapan dua orang di Borneo Rainforest Lodge, sistem pembesar suara Sony SRS-ULT700, fon telinga WF-1000XM6, kad memori, lens rain cover serta hadiah lain.

Program ini turut menampilkan sesi perkongsian berkaitan asas fotografi burung, tetapan kamera dan penyuntingan fotografi, selain taklimat pertandingan serta kemudahan pinjaman peralatan.

Dengan Kinabalu Park sebagai lokasi utama, acara ini menggabungkan fotografi, alam semula jadi dan pengalaman lapangan dalam satu platform yang membuka ruang kepada jurugambar daripada pelbagai latar untuk menguji kemahiran masing-masing.