SONG | 26 Oktober 2026 - Pasukan Song Team 99 membuktikan kehebatan di gelanggang air apabila berjaya mendominasi saingan perlumbaan powerboat bersempena Pesta Song 2026 selepas muncul juara dalam empat kategori berasingan, sekali gus memukau ribuan peminat sukan berkenaan.

IMG_8628

Foto: UKAS

Dalam perlumbaan yang menghimpunkan hampir 100 buah bot laju itu, Song Team 99 mempamerkan aksi bertenaga dengan menjuarai kategori 18HP, 30HP (3 Piston), 50HP ke bawah, serta kategori berprestij 45SST.

Bagi saingan kategori lain, pasukan Triple L cemerlang mengungguli kategori 30HP (2 Piston), manakala Song Team 9 menepati ramalan apabila merangkul kejuaraan bagi kategori 40HP (2 Piston).

Sementara itu, bagi acara perahu kayuh jarak jauh, Kelab Pegawai Perhubungan URDA membuktikan ketahanan fizikal dengan meraih gelaran juara, menewaskan Team Nabau Beratong di tempat kedua dan Persatuan Penduduk Ulu Katibas di kedudukan ketiga.

Kelab Pegawai Perhubungan URDA turut mengekalkan momentum kemenangan apabila mengungguli kategori perahu kayuh pecut 500 meter antara jabatan, mendahului Kelab Medical Song di tempat kedua dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) di tangga ketiga.

Majlis Penangguhan dan Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi di Pekan Song, pada Ahad.

Pesta Song 2026 yang berlangsung selama 10 hari bermula 16 Oktober lalu menyajikan pelbagai pengisian komprehensif merangkumi pertandingan memancing, sukaneka rakyat, bazar jualan usahawan, serta pentas rakyat yang meriah.

Edisi kali ini turut mencatat perkembangan membanggakan dengan kehadiran penyertaan antarabangsa dari Singapura, Brunei Darussalam, Australia dan Denmark, di samping aksi demonstrasi empat bot berkuasa tinggi 200 kuasa kuda bagi kategori Formula F2000.

Penganjuran festival yang berjaya menarik kehadiran kira-kira 3,000 pengunjung ini dilihat berpotensi tinggi memacu Pekan Song sebagai hab sukan air serantau selain merancakkan aktiviti sosioekonomi komuniti setempat.