KUCHING | 1 OKTOBER 2026 — Sarawak mencadangkan pembukaan sebuah Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATO) di Abu Dhabi bagi memperkukuh hubungan kerjasama dalam bidang tenaga solar dan industri gas.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, cadangan itu masih berada pada peringkat perancangan dan melibatkan perbincangan dengan pihak Abu Dhabi.

Beliau berkata, pejabat berkenaan dicadang untuk diuruskan bersama oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai platform bagi menguruskan cadangan projek bersama pihak Abu Dhabi. 

“Ini masih di peringkat perancangan di mana kita ada berbincang dengan pihak Abu Dhabi untuk merapatkan lagi hubungan dan juga menguruskan cadangan projek di Sarawak,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Sarawak Corporate Leadership Summit 2026 di Kuching, pada Khamis.

Menurut Abang Zohari, pelaksanaan pejabat tersebut bergantung kepada perkembangan projek yang sedang dirancang di Sarawak.

Katanya, kajian kebolehlaksanaan bagi projek berkenaan kini sedang dijalankan dan dijangka mengambil masa lebih setahun. 

Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak turut melihat potensi pembangunan aktiviti hiliran industri gas menerusi kerjasama dengan syarikat dari Jepun, Sakura, selain Air Liquide dan Indorama.

Antara potensi yang sedang diteroka termasuk penghasilan bahan berasaskan gas untuk industri tekstil serta proses kitar semula produk polimer berasaskan gas.

Abang Zohari berkata syarikat-syarikat berkenaan bercadang menempatkan operasi di Bintulu dengan nilai pelaburan yang dianggarkan mencecah AS$1 bilion.

Beliau berkata perkembangan itu mencerminkan potensi Sarawak untuk mengembangkan sumber gas kepada industri hiliran dan sektor berteknologi lebih maju.