SRI AMAN | 26 Oktober 2026 - Usaha merapatkan jurang perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat luar bandar diteruskan menerusi penganjuran Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sri Aman yang dijadualkan berlangsung di Kompleks Sukan Sri Aman selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November ini.

IMG_8589


Program anjuran Kerajaan Sarawak ini menghimpunkan pelbagai kementerian, jabatan, agensi kerajaan serta rakan strategik di bawah satu bumbung berteraskan konsep Pusat Sehenti (One-Stop Centre) bagi memudahkan orang ramai berurusan secara terus.

Antara kemudahan yang disediakan termasuk kaunter pembayaran bil utiliti, semakan serta pembayaran premium tanah, khidmat nasihat pelbagai agensi, saluran aduan awam melalui Talikhidmat, pendaftaran bantuan kebajikan, serta saringan dan konsultasi kesihatan percuma.

Selain itu, pengunjung boleh mendapatkan penerangan terperinci mengenai pelbagai inisiatif utama kerajaan negeri seperti Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), peluang kerjaya menerusi portal JobSarawak, serta skim pembiayaan keusahawanan.

Menambah kemeriahan temasya rakyat berkenaan, penganjur membawakan Malam Budaya Sarawak pada 30 Oktober dan Konsert Rakyat pada 31 Oktober yang menampilkan persembahan barisan artis tempatan serta jemputan tanah air.

Bagi memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti, pelbagai acara sukan turut diatur termasuk Senam Kenyalang, SKS Unity Walk sejauh empat kilometer, pertandingan pickleball, petanque, ping pong, sukan elektronik (e-sukan), aktiviti mendaki dinding (wall climbing) dan sukaneka rakyat.

Sebagai tarikan istimewa, pengunjung berpeluang menyertai acara e-Peraduan yang menawarkan lebih 90 hadiah cabutan bertuah bernilai keseluruhan melebihi RM85,000, dengan ganjaran utama berupa sebuah kereta Perodua Bezza bernilai lebih RM39,000.

Majlis perasmian program berkenaan dijadualkan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Sehubungan itu, seluruh penduduk di Bahagian Sri Aman serta kawasan sekitarnya dialu-alukan hadir beramai-ramai bagi memanfaatkan perkhidmatan, kemudahan dan aktiviti yang disediakan sepanjang program berlangsung.