KUCHING | 15 Oktober 2026 - Seorang pengurus klinik mengalami kejutan apabila mendapati baki akaun perbankan digital miliknya secara tiba-tiba memaparkan jumlah hampir RM1 bilion.

Tangkap layar resit transaksi perbankan digital milik seorang pengurus klinik yang memaparkan kemasukan wang berjumlah RM1,000,315,879.00 menerusi pelarasan bank pada 14 Oktober 2026.
Berdasarkan paparan resit transaksi yang dikongsikan menerusi laporan Buletin TV3, akaun berkenaan menunjukkan kemasukan wang berjumlah RM1,000,315,879.00 yang berstatus berjaya (Successful).
Rekod transaksi bernombor 31 itu dicatatkan berlaku pada 14 Oktober 2026, jam 10.36 pagi menerusi pelarasan pihak bank (Bank adjustment).
Pada ruangan jenis transaksi berkenaan, ia dinyatakan sebagai ganjaran di bawah promosi atau kempen (Rewards - Promotion/Campaign).
Selain itu, butiran lanjut pemindahan tersebut turut memaparkan keterangan bahawa ia merupakan ganjaran tunai bagi Kempen Hari Merdeka dan Hari Malaysia 2026 Pusingan Keenam (Cash Reward - Merdeka / Malaysia Day 2026 Campaign Cycle 6).





