KUCHING | 20 Oktober 2026 - Muzium Budaya Borneo (BCM) di sini dijangka menjadi tumpuan pelancong global apabila dipilih menganjurkan pameran antarabangsa bertemakan Mesir Purba yang menampilkan sebanyak 110 artifak, termasuk mumia manusia berusia lebih 5,000 tahun.

DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bercakap pada sidang media di Bilik Media Kompleks DUN, Petra Jaya.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pameran berskala besar itu dijadualkan berlangsung selama enam bulan bermula Julai 2027, selari dengan status Sarawak sebagai salah satu destinasi tumpuan sempena temasya Sukan SEA 2027.
Beliau menjelaskan bahawa tempoh penganjuran selama setengah tahun itu adalah berpatutan memandangkan proses logistik dan kemasukan bahan pameran melibatkan prosedur yang rumit serta kos yang tinggi.
“Selalunya pameran seperti ini berlangsung agak lama kerana proses membawa masuk bahan pameran bukan mudah. Kalau kita buat untuk satu bulan sahaja, rugi. Jadi, kita akan buat selama enam bulan,” ujar beliau semasa sidang media selepas sesi penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Mengulas lanjut, penganjuran ini memerlukan perancangan yang sangat teliti, terutamanya melibatkan aspek kos pengangkutan, perlindungan insurans, serta kawalan pengendalian bahan pameran yang memerlukan penjagaan rapi. Beliau turut menambah bahawa sesetengah artifak purba dan mumia memerlukan tetapan suhu spesifik bagi memastikan keadaannya sentiasa terpelihara sepanjang tempoh pameran.
Bagaimanapun, pihak kementerian yakin kos penganjuran tersebut tidak akan menjadi satu bebanan yang terlalu besar kepada kerajaan negeri.
Berdasarkan teks penggulungan rasmi kementerian, pameran eksklusif yang membawakan tajuk Egyptian Mummies: Journey Towards Immortality itu mempamerkan koleksi berharga pinjaman daripada Muzium Arkeologi Kebangsaan Florence, Itali. Lebih istimewa, ia merupakan pameran jelajah antarabangsa pertama bertemakan Mesir Purba yang pernah diadakan di Malaysia.
Dato Sri Abdul Karim turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Muzium Sarawak atas inisiatif berterusan mereka memperkenalkan pelbagai tarikan baharu bagi menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan antarabangsa ke muzium negeri.





