TAWAU | 2 OKTOBER 2026 - Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan terhadap seorang lelaki selepas dia mengaku bersalah membunuh seorang wanita penebar roti canai di Lahad Datu, hampir tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos menjatuhkan hukuman terhadap Md Ridzuan Abd Ahmad Zaini Logan, 37, selepas mempertimbangkan hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh membunuh Sirlin Salleh, 36, di kawasan semak Kampung Pisang, Lahad Datu, antara jam 6 pagi hingga 8 pagi pada 14 November 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif memohon hukuman mati atau, sebagai alternatif, hukuman maksimum 40 tahun penjara. Pendakwaan turut meminta mahkamah mengambil kira keadaan kematian mangsa serta kesannya terhadap keluarga.
Peguam Kamarudin Mohmad Chinki pula memohon hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan dengan meminta mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah, penyesalan tertuduh, latar belakang serta tanggungan keluarganya.
Mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan, berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 17 November 2024.





