LUNDU | 2 OKTOBER 2026 - Kebajikan seramai 560 peserta Projek FELCRA Berhad Tamang Sembawang 1 terus diberi perhatian, khususnya membabitkan isu geran tanah, pembayaran dividen serta perancangan penanaman semula kelapa sawit.

Perkara itu antara yang diberi perhatian pada Mesyuarat Agung FELCRA Berhad Tamang Sembawang 1 Kali Ke-10 bagi sesi 2026-2028 yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang di Dewan Mahligai Gading, Lundu, baru-baru ini. 

Projek berkenaan melibatkan kawasan seluas 547.44 hektar dan mula beroperasi pada 1999 sebelum aktiviti penanaman dimulakan pada 2000. Pesertanya terdiri daripada beberapa kampung termasuk Sebigo, Sebandi Hulu, Sebandi Hilir, Stunggang Melayu, Stunggang Melayu Baru, Seketi, Sileng Dayak, Sileng Melayu dan Pandan. 

Billy menegaskan aspek pembayaran serta kebajikan peserta perlu sentiasa diberi perhatian pihak pengurusan, selain memastikan urusan berkaitan kepentingan peserta dilaksanakan secara telus, berintegriti dan tersusun.

Beliau turut menyentuh kegusaran peserta berhubung isu geran tanah yang masih belum diselesaikan selepas lebih dua dekad.

Menurutnya, usaha mencari penyelesaian perlu diteruskan melalui rundingan bersama pihak berkuasa berkaitan, dengan wakil rakyat bersedia membantu membawa perkara berkenaan untuk perhatian lanjut. 

Susulan itu, satu mesyuarat bersama pihak FELCRA dirancang pada 6 Oktober 2026 di Kuching bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan kepentingan peserta termasuk tuntutan geran tanah, levi dan pembayaran dividen.

Sementara itu, Pengarah Negeri FELCRA Berhad Sarawak, Zulkifli Sulong berkata tanaman kelapa sawit di kawasan tersebut telah mencapai tempoh yang sesuai untuk penanaman semula berikutan prestasi hasil yang semakin menurun.

Perancangan penanaman semula turut diberi perhatian menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), selain bantuan geran sebanyak RM11,000 sehektar. 

FELCRA turut menyediakan beberapa bentuk sokongan termasuk bantuan kewangan dan geran bagi aktiviti perniagaan, bantuan berkaitan bencana serta bantuan kemasukan ke universiti awam kepada anak-anak peserta yang memenuhi syarat.

Dalam usaha memastikan sektor perladangan terus relevan kepada generasi baharu, FELCRA mahu menggalakkan penglibatan anak-anak peserta dalam industri berkenaan menerusi penggunaan mesin dan teknologi lebih moden serta meningkatkan penglibatan penduduk tempatan.