KUCHING | 18 Oktober 2026 - Sungai Sarawak bakal kembali bergelora dengan aksi mendebarkan apabila Sarawak International Dragon Boat Regatta Ke-12 membuka tirainya pada 23 hingga 25 Oktober ini di Kuching Waterfront.
Acara utama bersempena Sarawak Regatta–Kuching Waterfront Festival 2026 ini akan menyaksikan penyertaan kira-kira 2,450 peserta yang mewakili 80 pasukan dari 22 buah negara dan wilayah.
Antara negara yang bakal memberi saingan sengit termasuklah Malaysia, Australia, Brunei, China, Chinese Taipei, Thailand, Filipina, Jepun, Indonesia, Singapura, Hong Kong, Ireland, Georgia, Kazakhstan, Myanmar, Qatar, Vietnam, Kemboja, Argentina, Fiji, Moldova, Mexico, dan Liechtenstein.
Pertandingan edisi ke-12 ini menawarkan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai mencecah RM200,000, di samping piala dan pingat yang menjadi rebutan pasukan bertanding.
Sebanyak tujuh kategori akan dipertandingkan, antaranya International Premier Open, International Premier Mixed, International Premier Women, dan International Senior Open.
Lebih menarik, kejohanan kali ini turut memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Malaysia Closed Men’s 12’s dan International Senior Men’s Open 12’s, dengan kategori senior dikhususkan buat peserta yang berusia 50 tahun ke atas.
Penganjuran kejohanan sukan air bertaraf dunia ini dijangka menghimpunkan ribuan penyokong di Kuching Waterfront untuk menyaksikan sendiri semangat kesukanan dan kehebatan pendayung antarabangsa menakluk Sungai Sarawak.





