PONTIANAK, KALIMANTAN BARAT, 27 September 2026 — Pengawasan kawasan perbatasan Kalimantan Barat dengan Malaysia berdepan cabaran susulan kewujudan sekitar 400 jalur tidak rasmi, sedangkan jumlah pos pengamanan yang tersedia disebut sekitar 52 titik.


Perkara itu dibangkitkan Wakil Ketua Komisi IX DPR RI, Yahya Zaini, ketika memimpin Kunjungan Kerja Spesifik Komisi IX DPR RI di Pontianak, baru-baru ini.


Menurut Yahya, perbezaan antara jumlah jalur tidak rasmi dengan pos pengamanan menjadi antara cabaran dalam mencegah keberangkatan Pekerja Migran Indonesia (PMI) secara nonprosedural ke Malaysia.


“Memang posnya cuma 52, jalur tikusnya ada 400, sehingga tidak mampu untuk mengawasi yang 400 itu,” katanya.


Beliau berkata, titik-titik berkenaan bagaimanapun telah dikenal pasti dan memerlukan pengawasan lebih ketat oleh pihak berkuasa bagi mengurangkan pergerakan PMI melalui laluan tidak rasmi.


Yahya turut menggesa kerjasama lebih erat antara kepolisian, Imigrasi dan Kementerian Pelindungan Pekerja Migran Indonesia (KP2MI) bagi menangani isu penghantaran PMI secara nonprosedural.


Menurutnya, usaha bersepadu diperlukan termasuk dari aspek pengawasan, pencegahan dan pendidikan kepada masyarakat mengenai risiko bekerja di luar negara melalui saluran tidak sah.


Selain faktor pengawasan, Yahya berkata keadaan ekonomi dan peluang pekerjaan di Malaysia turut menjadi antara faktor yang mendorong sebahagian masyarakat memilih untuk bekerja melalui laluan nonprosedural.


Dalam perkembangan berkaitan, data yang dipetik Pemerintah Kota Pontianak daripada BP3MI Kalimantan Barat menunjukkan seramai 5,623 PMI nonprosedural dipulangkan pada 2025, manakala jumlah yang direkodkan pada 2026 ialah 5,105 orang.


Situasi berkenaan menunjukkan keperluan pengukuhan kerjasama antara agensi berkaitan bagi memastikan proses penempatan pekerja migran dilakukan melalui saluran yang sah dan selamat.


Isu pengawasan sempadan Kalimantan Barat turut mempunyai kaitan langsung dengan Malaysia memandangkan kedua-dua wilayah berkongsi sempadan darat dan mempunyai pergerakan masyarakat serta tenaga kerja rentas sempadan.