BINTULU | 28 SEPTEMBER 2026 - Sarawak memperkukuh usaha meningkatkan pengeluaran beras dan keterjaminan makanan menerusi pembangunan kira-kira 14,000 hektar kawasan untuk penanaman padi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sebahagian kawasan berkenaan melibatkan tanah kerajaan yang akan diwartakan khusus bagi tujuan penanaman padi.

Menurut beliau, pewartaan penting bagi memastikan kawasan yang dikenal pasti terus digunakan untuk pengeluaran padi dan tidak ditukar kepada tanaman lain yang menawarkan pulangan lebih tinggi.

Langkah itu turut disifatkan selaras dengan agenda nasional untuk meningkatkan pengeluaran beras dalam negara serta memperkukuh keterjaminan makanan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sarawak Agrofest 2026 di Lapangan Terbang Lama Bintulu, hari ini.

Antara kawasan yang dikenal pasti termasuk Lundu, Banting di Lingga, Limbang dan Lawas.

Selain memperluas kawasan penanaman, Sarawak turut memberi tumpuan kepada penyelidikan bagi menghasilkan varieti padi yang lebih sesuai dengan keperluan kesihatan, termasuk beras dengan kandungan kanji lebih rendah.

Premier Sarawak berkata, sekiranya penyelidikan berkenaan berjaya, Sarawak berpotensi membangunkan jenama beras sendiri yang mempunyai pasaran lebih luas.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan penting memandangkan usaha meningkatkan pengeluaran padi merupakan sebahagian daripada agenda nasional dan bukan hanya untuk kepentingan Sarawak.