MIRI | 27 SEPTEMBER 2026 - Karnival Jom Heboh Sarawak Segulai Sejalai 2026 di Miri bukan sekadar menjadi medan hiburan, malah turut berperanan memperkukuh sektor pelancongan dan merancakkan aktiviti ekonomi tempatan menerusi kehadiran pengunjung dari dalam dan luar Sarawak.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, penganjuran karnival selama tiga hari itu berjaya menghimpunkan masyarakat selain mengetengahkan kepelbagaian budaya dan bakat tempatan kepada khalayak lebih luas.
Beliau berkata, tema ‘Segulai Sejalai’ yang membawa maksud bersama-sama dan bersatu hati turut mencerminkan semangat perpaduan serta keharmonian dalam kalangan warga Miri dan pengunjung.
“Karnival ini telah menjadi pemangkin penting dalam memajukan sektor pelancongan negeri di mana melalui penganjuran acara berprestij ini, kita bukan sahaja berjaya menarik kehadiran puluhan ribu pengunjung dari dalam dan luar negeri, malah memberi ruang untuk memperkenalkan keunikan produk tempatan serta keindahan budaya Sarawak ke persada yang lebih luas,” katanya ketika berucap pada karnival berkenaan di sini, Sabtu.
Dalam pada itu, Sebastian berkata, penyertaan usahawan tempatan menerusi gerai jualan sepanjang karnival turut memberi limpahan ekonomi secara langsung kepada komuniti setempat.
Katanya, sambutan menggalakkan pengunjung terhadap produk yang ditawarkan membuktikan platform seperti Jom Heboh mampu membantu mengembangkan perniagaan berskala mikro, menjana pendapatan serta membuka peluang lebih luas kepada usahawan tempatan memasarkan produk mereka.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Media Prima Berhad, agensi kerajaan, rakan media serta jawatankuasa penganjur atas kerjasama dalam memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang karnival berlangsung.
“Walaupun tirai karnival ini bakal dilabuhkan, marilah kita terus membawa semangat kebersamaan ini dalam kehidupan seharian kita,” katanya.





