SADONG JAYA, 26 September 2026 — Program Hari Cuci Malaysia Peringkat Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di Pekan Warisan Pendam Sadong Jaya menjadi platform memperkukuh kesedaran serta penglibatan masyarakat dalam menjaga kebersihan dan kelestarian persekitaran.
Pengerusi MPKS, Abang Ismawi Abang Ali, berkata usaha menjaga kebersihan tidak seharusnya dilaksanakan secara bermusim, sebaliknya perlu dijadikan amalan berterusan dengan penglibatan semua pihak.
Menurutnya, program berkenaan bukan sekadar aktiviti gotong-royong, malah bertujuan membentuk kesedaran dan rasa tanggungjawab masyarakat terhadap kebersihan persekitaran.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hari Cuci Malaysia Peringkat MPKS di Sadong Jaya, Sabtu.
Abang Ismawi turut menekankan kepentingan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan komuniti bagi memastikan persekitaran sentiasa bersih, selamat serta selesa untuk didiami.
Program itu dilaksanakan serentak di beberapa kampung sekitar Sadong Jaya dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk warga emas dan pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sadong Jaya.
Turut mengambil bahagian ialah warga Balai Bomba Daerah Asajaya, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Kecil Sadong Jaya serta Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan.
Selain aktiviti gotong-royong, program turut menampilkan Kempen Beli Balik Barangan Kitar Semula dan pameran kesihatan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai amalan kitar semula serta penjagaan kesihatan.
Abang Ismawi berkata komitmen terhadap kebersihan dan kesihatan awam turut selaras dengan pencapaian MPKS yang baru-baru ini menerima pengiktirafan lima bintang dalam Anugerah Perkhidmatan Kesihatan Awam.
Turut hadir, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin.





