PUTRAJAYA, 11 Nov — Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengesahkan berlaku gangguan capaian terhadap sistem digitalnya berikutan ancaman keselamatan siber yang dikesan baru-baru ini.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata tindakan segera dan sewajarnya telah diambil bagi memastikan integriti sistem serta kesinambungan operasi pilihan raya kekal terpelihara.

Bagi menangani ancaman tersebut, SPR telah menyelaraskan kerjasama strategik bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Digital Negara (JDN).

Langkah-langkah keselamatan tambahan serta tindakan mitigasi kini sedang dilaksanakan secara berterusan bagi mencegah sebarang pencerobohan dan memperkukuh daya tahan sistem, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka dan Sarawak.

Dalam masa sama, SPR memberi jaminan bahawa keselamatan sistem dan kelancaran proses pengundian kekal menjadi keutamaan suruhanjaya berkenaan.

Sehubungan itu, pengundi di Sarawak dan Melaka disediakan tiga saluran alternatif bagi membuat semakan maklumat pusat mengundi masing-masing:

  1. Secara dalam talian: Melayari portal rasmi MySPR Semak atau menerusi aplikasi MySPR Semak.
  2. Pusat Panggilan SPR: Menghubungi talian 03-8892 7218 yang beroperasi setiap hari (termasuk Sabtu dan Ahad) dari jam 9.00 pagi hingga 8.00 malam.
  3. Secara fizikal: Hadir terus ke barung semakan pusat mengundi pada Hari Mengundi kelak.

Pengundi turut dinasihatkan membuat semakan daftar pemilih lebih awal serta menyimpan tangkap layar (screenshot) maklumat pengundian bagi melancarkan proses membuang undi pada hari penentuan.

IMG_1749
IMG_1750