KUALA LUMPUR, 11 Nov — Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) mengesahkan fenomena penampakan bebola cahaya terang di ruang udara Sabah pada awal pagi berpunca daripada operasi pelancaran roket milik Republik Rakyat China.
Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), aktiviti tersebut melibatkan roket jenis Long March 12 yang berlepas dari Hainan International Commercial Launch Center di Wenchang, Hainan pada jam 4.24 pagi waktu tempatan (MYT).
MYSA memaklumkan pihaknya turut menerima pemakluman daripada Agensi Angkasa Filipina (PhilSA) berhubung zon jangkaan jatuhan serpihan (drop zone) roket berkenaan.
Kawasan kebarangkalian jatuhan serpihan objek dianggarkan berada sekitar 25 batu nautika (NM) dari Puerto Princesa, Palawan serta 19 NM dari Tubbataha Reefs Natural Park yang terletak sepenuhnya dalam lingkungan wilayah perairan kepulauan Filipina.
Setakat ini, pihak berkuasa mengesahkan tiada sebarang laporan rasmi diterima berhubung penemuan serpihan objek daripada pelancaran roket tersebut di dalam wilayah kedaulatan Malaysia.
Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan supaya segera membuat laporan kepada Bahagian Penguasa Angkasa di talian 03-8885 8685 atau menerusi e-mel di bpadg@mosti.gov.my sekiranya menemui sebarang objek mencurigakan yang dipercayai serpihan roket terbabit.





