BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Nov — Jabatan Perdana Menteri (JPM) Negara Brunei Darussalam mengeluarkan senarai rasmi Hari-Hari Kelepasan Awam bagi tahun 2027 berikutan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Ketetapan tersebut dimaklumkan menerusi Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri Bilangan 4/2026 bertarikh 10 November 2026 yang ditandatangani oleh Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) JPM, Ajman Haji Meludin.
Berdasarkan jadual takwim yang dikeluarkan, kalendar tahun 2027 menyaksikan peristiwa Memperingati Isra’ dan Mi’raj diisytiharkan sebanyak dua kali dalam tahun Masihi yang sama, iaitu pada Rabu, 6 Januari 2027 (27 Rejab 1448) dan Isnin, 27 Disember 2027 (gantian bagi Ahad, 26 Disember / 27 Rejab 1449).
Bagi sambutan peristiwa kebangsaan dan keraian rasmi negara, Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-43 ditetapkan pada Selasa, 23 Februari 2027, disusuli Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) pada Isnin, 31 Mei 2027. Manakala, Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-81 dijadualkan pada Khamis, 15 Julai 2027.
Surat keliling itu turut memperincikan hari kelepasan awam keagamaan yang tertakluk kepada perubahan kenampakan anak bulan, merangkumi Awal Ramadan pada 8 Februari, Memperingati Nuzul Al-Qur’an pada 24 Februari, Hari Raya Aidilfitri selama tiga hari bermula 10, 11 dan 13 Mac (termasuk cuti gantian bagi Jumaat, 12 Mac), serta Hari Raya Aidiladha pada 17 Mei 2027.
Hari-hari kelepasan awam lain yang turut disenaraikan merangkumi cuti gantian Awal Tahun Masihi pada Sabtu, 2 Januari; Tahun Baharu Cina pada Sabtu, 6 Februari; cuti gantian Ilal Hijrah 1449 pada Isnin, 7 Jun; cuti gantian Maulud Nabi Muhammad SAW pada Isnin, 16 Ogos; serta Hari Krismas pada Sabtu, 25 Disember 2027.
Pihak JPM menegaskan bahawa tarikh-tarikh bagi awal bulan Hijrah dan perayaan Islam berkaitan adalah tertakluk kepada perubahan rasmi menurut ketetapan rukyah.







